Friday, June 20, 2008

PROGRAM SAMBUTAN 100 HARI KERAJAAN BARU NEGERI SELANGOR

TARIKH/ MASA PROGRAM TEMPAT TINDAKAN
18HB JUN (RABU) 8.00 mlm
Perlawanan Persahabatan Bolasepak antara Pasukan Pilihan MB melawan Pasukan Veteran Selangor - Padang MBPJ - Urusetia The Sultan Of Selangor’s Cup

19HB JUN (KHAMIS)
7.30 mlm - 8.00 mlm ( Semua Masjid & Surau )
Solat Maghrib, Bacaan Yassin, Tahlil & Solat Sunat Hajat Di Semua Masjid, Surau & Madrashah

2. Temuramah Ekskusif mengenai 100 hari pentadbiran YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dengan TV Astro Awani - Lokasi : Studio TV Astro Awani


20HB JUN (JUMAAT) 9.00 pagi – 12.00 mlm ( Stadium Shah Alam )
1. Gerai Jualan & Pameran Dagang
2. Khutbah Jumaat KHAS
3. Solat Maghrib, Tahlil & Solat Sunat Hajat
4. Ucaptama

VVIP
Datuk Seri Anwar Ibrahim
YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Lim Kit Siang
Menteri Besar & Ketua Menteri

21HB JUN (SABTU) 8.30 mlm
Ceramah Perdana Serentak di 22 Parlimen
(Melibatkan EXCO, ADUN, Ahli Parlimen dan Pimpinan)

01. Seluruh Kawasan Parlimen Selangor
01. Urusetia Program & Urusetia Kawasan Parlimen

22hb JUN (AHAD) 5.00 Petang
Perlawanan Persahabatan Bolasepak antara Pasukan Pilihan MDKL melawan Pasukan Veteran Selangor - Lokasi Stadium Jugra Banting
Anjuran : Urusetia The Sultan Of Selangor’s Cup


_______________________________________________________
Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com

KERAJAAN MEWAH, RAKYAT DIZALIMI


Data bukti kerajaan mewah, tetapi terus zalimi rakyat

Data daripada Bank Negara Malaysia dan Pembendaharaan Negara membuktikan bahawa Kerajaan sebenarnya selesa dan mewah akibat kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Data Pembedaharaan menunjukkan kenaikan pendapatan hasil kerajaan melonjak semenjak Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara dan lonjakan ini adalah disebabkan kenaikan hasil yang diperolehi kerajaan menerusi

1. Cukai Langsung dari Cukai Pendapatan Syarikat Petroleum yang meningkat dari RM 11.5 B pada tahun 2004 kepada RM 20.7 B dalam tahun 2006.

2. Cukai Tak Langsung dari Duti Eksport Petroleum yang meningkat dari RM 1.5 B pada tahun 2004 kepada RM 2.3 B pada tahun 2006.

3.Hasil Bukan Cukai - Dividen Petronas daripada RM9.1 B dalam tahun kewangan 2004 yang melonjak 100% kepada RM18.0 B pada tahun berakhir 2006.

4. Hasil Bukan Cukai - Royalti Petroleum dan Gas yang meningkat dari RM2.5 B pada tahun 2004 kepada RM4.2 B pada tahun 2006.
(Data ini diperolehi dari sumber Perbendaharaan Negara dan boleh dilihat umum di treasury.gov.my).


Kenaikan pendapatan kerajaan ini adalah berkait rapat dengan keuntungan besar yang diperolehi oleh syarikat Petroleum terutamanya Petronas yang mengaut keuntungan terus daripada kenaikan harga pasaran minyak mentah dunia.
Bagaimanapun, Data daripada Bank Negara Malaysia menunjukkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi tidak melonjak dengan ketara akibat daripada kenaikan kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Data Bank Negara menafikan hakikat yang cuba diutarakan oleh kerajaan bagi menaikan harga bahan bakar untuk kenderaan di Malaysia.

(Walaupun data berakhir pada tahun 2006, tetapi kita boleh bayangkan trend di antara kenaikan harga minyak dan peningkatan perolehan kerajaan apabila pasaran minyak mentah dunia terus melonjak pada tahun 2007 dan 2008.)

Data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan pada tahun 2004, Kerajaan membelanjakan sebanyak RM5.8 B untuk segala subsidi iaitu termasuk subsidi bahan bakar, subsidi bahan makanan dan lain-lain.

Pada tahun 2005, perbelanjaan kerajaan bagi tujuan subsidi bagaimanapun meningkat hampir 3 kali ganda kepada RM13.4 B tetapi perbelanjaan untuk subsidi bagaimanapun menurun semula pada tahun 2006 kepada hanya RM10.1 B sedangkan mulai 2006 desas-desus dalam kerajaan untuk menamatkan pemberian subsidi bahan bakar mula timbul.

Walaupun kenaikan pendapatan hasil kerajaan dari sumber Petroleum meningkat dengan mendadak yang membuktikan hasil kerajaan turut meningkat setiap kali harga minyak mentah dunia meningkat, tetapi subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan tidak meningkat pada peratusan yang sama.

Kerajaan membiarkan rakyat menanggung beban kenaikan harga minyak mentah dunia sebaliknya kerajaan menikmati perolehan yang amat positif dari kenaikan itu.

Sebaliknya data-data dari kerajaan jelas menunjukkan kerajaan sebenarnya mampu dengan selesa menurunkan harga bahan bakar petrol dan diesel dengan meningkatkan subsidi setanding dengan peratusan kanaikan perolehan kerajaan.

Sebaliknya, kerajaan bertindak menaikan harga minyak. Rakyat dijanjikan dengan menanggung sendiri beban kenaikan harga minyak, kerajaan akan mempertingkatkan taraf hidup dan kualiti hidup penduduk menerusi pembiayaan projek-projek yang mampu meringankan beban rakyat.

Malangnya, walaupun terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak, rakyat tidak pula dapat menikmati janji-janji kerajaan itu. Projek-projek kerajaan yang diumumkan sering dibatalkan dan pembayar cukai dipaksa pula membayar ganti rugi akibat pembatalan kontrak-kontrak oleh kerajaan.

Apa yang jelas lagi bersuluh, beban rakyat bukanlah disebabkan kenaikan harga minyak tetapi disebabkan kebebalan dan sikap tidak bijak Kerajaan yang diterajui oleh Abdullah Haji Ahmad Badawi. - kickdefella.wordpress.com _
____________________________________________
Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com

Wednesday, June 4, 2008

TEKS UCAPAN DR WAN AZIZAH

TEKS UCAPAN PERBAHASAN
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN TAMBAHAN (2007) 2008
OLEH: DR. WAN AZIZAH BINTI WAN ISMAIL
KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA
26 MEI 2008

Yang di-Pertua,

Rang undang-undang Perbelanjaan Tambahan Kedua bagi tahun 2007 ini tidak wajar diluluskan. Belanjawan Tambahan Kedua sebanyak RM18.02 billion campur dengan Belanjawan Tambahan Pertama sebanyak RM10.9 billion bermakna kerajaan sudah membentangkan Belanjawan Tambahan sebanyak RM28.92 billion untuk tahun 2007.

Ini merupakan 25.6% daripada Belanjawan asal yang berjumlah RM113 billion. Saya percaya ini bukan kali terakhir Belanjawan Tambahan 2007 akan dibentangkan sebelum akhir tahun ini. Kebiasaannya belanjawan tambahan hanya sekitar 5% dari belanjawan asal dan tidak sepatutnya melebihi 10%.

Itu pun dikira sebagai pengurusan belanjawan negara tidak prudent lagi. Ini belum lagi mengambil kira perbekalan-perbekalan tambahan luar jangka sebelum pembubaran parlimen bagi menghadapi pilihan raya. Dengan unjuran yang ada, adakah jumlah kumulatif belanjawan tambahan akhirnya akan melebihi 50% daripada belanjawan asal?

Menurut Kertas Perintah 4A Tahun 2008, sebanyak RM16.8 billion daripada RM18.02 billion atau 93.2% merupakan jumlah lebihan dari Akaun Hasil Disatukan yang dipindahkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Tiada langsung perincian dikemukakan.

Saya ingin tahu, apakah bentuk pembangunan yang dilaksanakan dengan wang sebanyak RM16.8 billion ini? Adakah kerajaan beranggapan bahawa Dewan yang mulia ini akan hanya menjadi “Rubber Stamp” untuk perbelanjaan wang sebanyak itu?

Kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dengan memberi butiran terperinci dan lengkap mengenai pembangunan yang dilaksanakan dengan wang ini. Jadi saya minta semua Ahli-ahli Dewan yang mulia ini baik dari Pakatan Rakyat maupun Barisan Nasional menolak Belanjawan Tambahan kedua ini melainkan kerajaan menyediakan butiran lengkap dan terperinci tentang kegunaan Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM16.8 billion yang dibentangkan untuk diluluskan.

PERMASALAHAN PROJEK RUNDING TERUS

Yang di-Pertua,

Harapan untuk melihat perubahan kepada sistem pengagihan kontrak secara adil dan saksama begitu tinggi apabila Perdana Menteri memberi jaminan bahawa dibawah pemerintahan beliau, tiada lagi projek-projek dianugerah secara rundingan terus. Begitulah jaminannya dalam wawancara 100 hari sebagai Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di TV1.

Malang sekali komitmen Perdana Menteri meleset apabila begitu banyak projek-projek dianugerah secara rundingan terus. Semasa menjawab soalan saya pada 30 April 2008, di dalam Dewan yang mulia ini Perdana Menteri sendiri mengaku bahawa sebanyak 38% daripada projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan ditawarkan secara runding terus dengan membabitkan projek-projek bernilai sebanyak 63 billion ringgit.


Menurut Perdana Menteri, ada tender yang terhad yang dibuat dengan secara menjemput syarikat-syarikat tertentu untuk mengemukakan cadangan-cadangan mereka bagi dipertimbangkan dalam tender sistem itu. Alasan kerajaan ialah ini biasanya ada hubung kait dengan barang-barang yang diperlukan yang dianggap sebagai isu security, specific dan hitech yang tidak semua syarikat mempunyai kebolehan untuk mengambil bahagian dalam tender.


Alasan kerajaan juga menyebut bahawa pemberian tender yang sedemikian adalah diputuskan mengikut proses yang dijalankan dengan teliti, dengan mengambil segala aspek berkaitan dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan. Perdana Menteri juga memberitahu Dewan ini bahawa pendekatan yang cukup teliti diberikan supaya tidak merugikan kerajaan.

Tetapi dari segi kenyataan, tidak menjadi begitu. Banyak projek-projek rundingan terus mengalami pelbagai masalah yang menyebabkan pembaziran melalui penambahan kos yang melibatkan dana awam. Antaranya:

Projek membina sekolah rendah dan menengah dibuat secara rundingan terus. Banyak mengalami kelewatan untuk siap, penggunaan bahan binaan tidak mengikut spesifikasi. Kawasan projek didapati tidak sesuai. Banyak permasalahan lain lagi berbangkit, iaitu berlakunya kebocoran, kerosakan dan keruntuhan yang membahayakan warga sekolah termasuk pelajar, guru dan kakitangan.


Makmal komputer mengalami kebocoran, keruntuhan dan tidak sesuai digunakan dan sebagainya. Dimanakah kepakaran, tanggungjawab jurutera dan jururunding lain dalam merekabentuk bangunan untuk kegunaan rakyat ini? Apakah tindakan diambil keatas kontraktor, jurutera dan perunding-perunding apabila kepincangan berlaku dalam pelaksanaan projek-projek ini?

2. Projek-projek dibawah kawalselia Syarikat Pembinaan BLT Sdn Bhd, syarikat milik Menteri Kewangan Yang Diperbadankan kebanyakannya dianugerah secara rundingan terus. Sejak dilancarkan pada 2005, PBLT sedang dan akan melaksanakan projek-projek bernilai RM8 billion. Menurut Berita Harian edisi 3 Februari 2007 kerajaan melaksanakan 63 projek bernilai RM4.68 billion secara ‘fast tract’ melalui kaedah bina-pajak-pindah.


Projek-projek yang terlibat ialah pembinaan quarters kediaman polis yang dibiayai melalui dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Amanah Pencen. Oleh kerana projek yang dilaksanakan menggunakan wang rakyat untuk kediaman polis, maka amat wajar kerajaan memastikan kontrak yang dianugerahkan merupakan kaedah terbaik berbanding tender terbuka baik dari segi “value for money”, keselamatan dan keselesaan warga polis.


Langkah-langkah pemantauan perlaksanaan projek-projek dalam pembinaan perumahan polis mesti tegas agar tidak berulang keadaan yang pernah didedahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri [ketika itu Ahli Yang Berhormat Tanjong Karang] pada Jun 2005 bahawa kebanyakan projek perumahan polis terbengkalai pada tahap akhir iaitu kira-kira 90% untuk disiapkan. Ini merugikan kerajaan, dan membazirkan wang rakyat. Secara Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan keadaan sedemikian tidak berlaku?

3. Begitu juga projek-projek yang dikendalikan oleh Kementerian Kerja Raya, kebanyakannya dianugerah secara rundingan terus. Projek yang diiklankan hanya untuk mengabui mata rakyat sahaja.

Di Kelantan pula, projek-projek persekutuan yang dianugerah secara rundingan terus termasuk:

1) Jalan baru Kota Bahru – Kuala Krai bernilai RM540 juta kepada Padang Maju Bina Sdn Bhd;
2) Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra bernilai RM150 juta kepada Konsortium LS Resources Sdn Bhd dan RIS Capital Sdn Bhd; dan
3) Jalan Pasir Puteh – Gong Kulim, Tok Bali bernilai RM56.9 juta kepada HYM Contruction Sdn Bhd dan banyak lagi.

Selain daripada itu, Projek KL Outer Ring Road bernilai RM2 billion dianugerahkan kepada Ahmad Zaki Resources Bhd secara rundingan terus. Begitu juga Projek Naik Taraf Jalan Pekan – Kuantan juga dianugerahkan kepada syarikat yang sama secara rundingan terus.

Yang saya sebut ini hanya sekelumit sahaja atau ‘tip of the iceberg’. Jadi, bagaimana rakyat nak percaya kerajaan Barisan Nasional ingin membina usahawan berwibawa dan telus dalam pengagihan kontrak, kalau beginilah amalan yang dilakukan oleh kerajaan sekarang.

Apabila berlaku masalah, bagaimanakah kerajaan dapat menjamin projek-projek runding terus ini dilaksanakan berasaskan ‘value for money’ untuk rakyat tanpa pembaziran yang melibatkan wang rakyat? Umpamanya, apabila berlaku keretakan sepertimana yang berlaku keatas jejambat Projek Middle Ring Road 2 (MRR2) di Kepong, apakah kontraktor-kontraktor projek dikenakan tindakan atau penalti? Sebaliknya kedudukan mereka menjadi lebih terjamin apabila kerajaan menambahkan lagi peruntukan bagi menampung pembaikan keretakan tersebut!


Dimana letaknya ketelusan kerajaan dalam pengurusan pengagihan projek-projek ini? Oleh yang demikian, jangan marahkan rakyat apabila mereka beranggapan ada orang-orang tertentu yang rapat dengan pimpinan negara mempunyai kepentingan dalam projek-projek yang sedemikian rupa.

WARISAN KEBANGSAAN

Yang di-Pertua,

Di negara kita, asalkan saja ada pihak berkepentingan dapat meraih keuntungan, maka warisan sejarah pun sanggup dikorbankan. Kita lihat saja bangunan dan institusi bersejarah seperti Stadium Negara, Stadium Merdeka, Bukit Bintang Girls School, Batu Methodist Girls School dan sebagainya terancam atau dirobohkan terus untuk pembangunan komersial.


Satu demi satu cadangan-cadangan diangkat untuk memindah atau merobohkan bangunan dan institusi bersejarah untuk memberi laluan kepada pembangunan komersial. Terakhir ini ialah cadangan memindahkan Universiti Malaya ke Sepang. Nasib baik warga Universiti Malaya membantah, maka Perdana Menteri terpaksa campurtangan.

Dalam akhbar The Star bertarikh 20 Februari 2008, UM Holdings Sdn Bhd mengumumkan perlantikan konsortium PPC-Mint-Glomac untuk membangun 27.5 hektar tanah dalam kampus Universiti Malaya bagi membina villa dan kondominium mewah berpagar. Akhbar tersebut memaparkan “Consortium plans gated community at UM Land” dengan izin. Menurut Timbalan Pengerusi Glomac Datuk Richard Fong, projek ini akan dilancarkan suku kedua tahun ini.

Berikutan itu, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) telah membuat bantahan atas beberapa alasan:

1) Universiti Malaya merupakan universiti awam yang pertama dan tertua. Oleh itu, ia perlu dilihat sebagai sebuah warisan nasional yang unggul yang perlu dipelihara untuk kepentingan awam. Menyewa atau menjual sebahagian dari tanah kepunyaan Universiti Malaya akan membawa kepada keruntuhan warisan dan nilai-nilai sejarah.


Memandangkan tanah di sekitar Lembah Klang adalah 'prime land' dan mempunyai harga pasaran yang tinggi, ini mungkin mempengaruhi secara substantif keinginan pihak-pihak tertentu untuk terlibat di dalam perjanjian yang serupa di masa hadapan dan ini tidak patut digalakkan sama sekali.

2) Penjualan atau penyewaan tanah untuk tujuan pembinaan kondominium mewah dan villa tidak membawa kepentingan pembangunan akademik universiti, tetapi ia akan memperlihatkan "kemurahan" penggunaan tanah universiti awam untuk pembangunan zon komersial.

3) Pembinaan kondominium mewah yang komersil di atas tanah kepunyaan awam (public land) adalah tidak beretika kerana ia hanya menguntungkan sebahagian kecil dari golongan elit dan ahli korporat dan bukan untuk penggunaan dan kepentingan awam (public interest).

4) Tidak ada sebarang bentuk perancangan yang kukuh oleh Universiti Malaya tentang penggunaan dana yang akan diperolehi oleh perjanjian tanah tersebut.

5) Terdapat beberapa kaedah atau pendekatan yang boleh dibuat oleh Universiti Malaya di dalam memperolehi dana untuk pembangunan akademik dan kepentingan awam. Salah satu kaedah ialah dengan secara proaktif mendapatkan dana dengan menemui dan menghubungi Alumni Universiti Malaya yang mempunyai sumber kewangan (wealthy Alumni) untuk mendapatkan sumbangan.

Saya cadangkan agar kerajaan pastikan pembangunan ke atas tapak Universiti Malaya hanyalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan atau keselesaan warganya seperti bangunan atau kawasan untuk penyelidikan, pembelajaran, asrama dan sebagainya.

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia pada Julai 2007 telah menyenaraikan 50 warisan kebangsaan bersempena dengan 50 tahun kemerdekaan Malaya dan 44 tahun penubuhan Malaysia.


Ini merupakan senarai pertama warisan kebangsaan kita yang akan dilindungi undang-undang menurut Akta Warisan Kebangsaan 2005. Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan supaya kampus utama Universiti Malaya sewajarnya turut dipertimbangkan bagi disenaraikan sebagai warisan kebangsaan.

PERTAHANAN NEGARA
Yang di-Pertua,
Tempohari semasa membahaskan Titah DiRaja, saya telah membangkitkan perkara-perkara yang bersangkutan dengan perolehan dua buah kapal selam Scorpene dan 18 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM. Berikutan itu, semasa menggulung perbahasan berkaitan perkara-perkara tersebut, YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan memberitahu Dewan ini bahawa perolehan kapal selam tersebut telah dibuat secara runding terus.


Dewan diberitahu bahawa kontrak perolehan kapal selam itu ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh Kerajaan Malaysia dengan Syarikat DCNS Peranchis dan Syarikat Navatia Sepanyol selaku pembekal kapal selam dan Syarikat Perimekar Sdn Bhd sebagai project service provider dengan nilai kontrak kesemuanya berjumlah Euro1.84 billion (RM5.5 billion).


Dewan juga diberitahu bahawa terdapat dua bahagian utama dalam skop kontrak, iaitu:
Bahagian pertama, antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat DCNS Peranchis dan Navatia Sepanyol merangkumi perolehan dua buah kapal selam Scorpene melalui pakej Integrated Logistical Support dan latihan untuk warga kapal selam Scorpene dengan nilai Euro999.15 juta (RM4.94 billion); dan
Bahagian kedua, antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Perimekar Sdn Bhd merangkumi perkhidmatan sokongan atau service provider dan koordinasi kepada pasukan projek kapal selam TLDM di Peranchis dan Sepanyol serta pelatih-pelatih kapal selam di Peranchis selama enam tahun dengan nilai Euro114.96 juta (RM586.3 juta).


Menyentuh kembali perolehan dua buah kapal selam Scorpene dari Peranchis itu, saya telah membangkitkan perbandingan harga sebuah kapal selam tersebut yang turut dibeli oleh dua buah negara lain – Chile dan India. Menurut sumber majalah pertahanan terkemuka Jane’s Defence Weekly, perbandingan harga kapal selam Scorpene yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia iaitu USD580 juta sebuah, Chile USD250 juta dan India USD540 juta menunjukkan bahawa Malaysia membayar harga yang lebih mahal berbanding kedua-dua buah negara tersebut.

YAB Menteri memberitahu Dewan, perbezaan harga itu berlaku kerana kelainan spesifikasi dari segi komponen kapal selam, komponen Integrated Logistical Support dan komponen latihan. Apapun, kerajaan tidak dapat menafikan bahawa perolehan kapal selam Scorpene ternyata dibayar dengan harga yang termahal di dunia setakat ini.


Ini juga membangkitkan persoalan yang lebih asas. Mengapakah untuk tujuan mempermodenkan angkatan laut Malaysia, Kementerian Pertahanan memilih untuk memperolehi kapal selam jenis Scorpene yang dibekalkan oleh usahasama Peranchis – Sepanyol? Adakah perolehan kapal selam Malaysia dibuat menerusi tawaran tender terbuka antarabangsa?


Mengapa tidak dipertimbangkan perolehan kapal selam dari negara-negara pembekal kapal selam terkemuka yang lain, umpamanya Jerman yang memiliki pengalaman luas dalam industri pembinaan kapal selam sebelum Perang Dua Kedua lagi. Adakah tawaran perolehan kapal selam Malaysia dibuka kepada negara-negara lain? Jika tidak, mengapa ianya terhad kepada Syarikat DCNS Peranchis dan Navatia Sepanyol yang membekalkan Scorpene?


Negara Jerman juga terdapat syarikat-syarikat pembekal kapal selam yang didakwa mereka secara kualitatifnya lebih baik dari Scorpene pada kadar harga yang lebih murah. Syarikat Jerman, iaitu HDW Ferrostal, mempunyai keupayaan membina dan membekal kapal selam jenis Class-214 yang didakwa sistem dan spesifikasi kapal selamnya lebih baik daripada Scorpene dan juga harganya sehingga 25 hingga 30 peratus lebih murah dari Scorpene.

Selain angkatan laut Jerman, beberapa negara termasuk Itali, Greece, Korea Selatan turut menggunakan kapal selam Class-214.


Yang di-Pertua,
Saya ingin membangkitkan kembali pertanyaan-pertanyaan saya mengenai maintenance kapal selam Scorpene yang tidak mendapat jawapan yang memuaskan dari YAB Menteri Pertahanan semasa penggulungan beliau tempohari.

Oleh kerana mana-mana kapal perang termasuk kapal selam Scorpene memerlukan maintenance, apakah ianya termasuk dalam pakej Integrated Logistical Support kapal selam tersebut? Ataupun adakah ianya nanti akan ditawarkan kepada mana-mana syarikat untuk menguruskan maintenance kapal selam Scorpene?


Dalam soal maintenance kapal selam Scorpene, YAB Menteri memberitahu Dewan bahawa maintenance yang sebenarnya hanya boleh dibuat oleh sebuah shipyard yang bertauliah dan ini akan ditentukan kemudian. Jawapan beliau amat menghairankan kerana kapal selam Scorpene yang pertama, iaitu KD Tunku Abdul Rahman, dijadual akan diserahkan kepada TLDM tidak berapa lama lagi, iaitu pada Januari 2009. Manakala kapal selam yang kedua, KD Tun Abdul Razak dijadual akan diserahkan pada penghujung 2009.


Berikutan dengan penggunaan dan operasinya nanti, kapal selam tersebut tentunya berkehendak kepada maintenance dari masa ke semasa. Saya ingin tahu, pihak manakah yang akan bertanggungjawab terhadap maintenance kedua-dua kapal selam tersebut? Saya juga ingin tahu sama ada kerajaan telah pun menjalinkan perjanjian dengan mana-mana pihak, sama ada dalam negeri maupun luar negara, bagi tujuan maintenance kapal selam Scorpene.


Oleh kerana Malaysia belum mempunyai kemudahan dan pengalaman dalam pengendalian dan penyelenggaraan kapal selam berbanding India yang turut membeli Scorpene, adakah Malaysia menjalinkan apa-apa perjanjian dengan India dalam hal berkaitan kapal selam tersebut?

Defenceworld.net dalam laporannya bertarikh 3 Mac 2008 menyebut bahawa ketua turus TLDM Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali dan ketua turus tentera laut India Laksamana Sureesh Mehta telahpun mengadakan perbincangan di New Delhi berkaitan kerjasama mengenai kapal selam Scorpene.

Kerajaan mesti menjelaskan mengapa perolehan kapal selam Scorpene begitu beriya-iya sekali dilakukan dengan perbelanjaan berbillion ringgit, sedangkan soal maintenance masih belum ditentukan. Apapun, saya perlukan komitmen kerajaan bahawa kontrak maintenance kapal selam Scorpene harus telus dan ditawarkan menerusi tender terbuka.


Berikutan dengan perolehan kapal selam Scorpene, saya juga menggesa supaya perolehan alatan dan persenjataan kapal selam tersebut juga harus dilakukan secara telus. Jangan ada kedengaran hanky-panky atau kickback dalam soal perolehan alat-alat ketenteraan negara yang melibatkan khazanah negara dan wang pembayar cukai yang tidak sedikit.


Yang di-Pertua,
Mengenai pembelian 18 buah jet pejuang Sukhoi Su-30MKM pula, kerajaan mempunyai alternatif membelinya secara langsung menerusi syarikat KNAAPO, anak syarikat kumpulan Sukhoi, yang diwakili syarikat Anjung Mustika Sdn Bhd yang menawarkan harga USD43 juta sebuah. Kesemua komponennya pula dibekal dari Russia.

Tetapi Malaysia membeli Sukhoi melalui syarikat IAPO yang diwakili IMT Defense Sdn Bhd yang menawar harga US73 juta sebuah. Kebanyakan negara-negara pembeli Sukhoi membelinya melalui KNAAPO. Hanya Malaysia dan India sahaja yang membeli melalui syarikat IAPO ini. IAPO menawarkan Sukhoi Su-30MKI yang di pasang oleh syarikat Hindustan Aircraft Co dari India. Komponennya pula diperolehi melalui 14 buah syarikat. Bayangkan dalam keadaan perang, salah satu syarikat komponen ini menghadapi masalah, maka pesawat pejuang Sukhoi kepunyaan Malaysia tidak dapat berfungsi.

Dalam satu laporan audit kerajaan India, IAPO dan Hindustan Aircraft menghadapi banyak masalah dalam memenuhi jadual bekalan dan technikal yang menyebabkan banyak jet pejuang Sukhoi tidak dapat dibekal mengikut jadual dan menghadapi pelbagai masalah teknikal.
Kerajaan selalu memberi alasan tidak dapat menjelas perbezaan harga sesebuah jet pejuang yang ditawarkan atas alasan keselamatan, maka tidak boleh didedahkan.

Walaubagaimana pun, keupayaan komponen jet pejuang yang dibeli mana-mana negara boleh diperolehi melalui internet dan majalah-majalah pertahanan antarabangsa dengan begitu mudah. Juga pesanan komponen-komponen yang dibuat melalui tender terbuka antarabangsa maka maklumatnya boleh diperolehi oleh mana-mana pihak yang ingin mengetahui keupayaan jet-jet pejuang atau peralatan ketenteraan kita.

Jadi kerajaan perlu menjelaskan kenapa memilih dari pembekal yang menawar harga yang begitu tinggi berbanding dengan jet-jet pejuang yang sama dengan keupayaan yang sama atau lebih baik dengan harga yang lebih rendah? Sebab itulah saya cadangkan satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat perolehan peralatan tentera yang begitu pincang.


Kita tidak menafikan peri pentingnya pemodenan angkatan bersenjata negara dengan perolehan peralatan dan kelengkapan yang canggih dan berkesan demi pertahanan negara. Sememangnya negara memerlukan pertahanan yang kuat melalui persediaan angkatan tentera yang sentiasa siap siaga mempertahankan kedaulatan negara. Namun tiada kekentalan yang lebih jitu bagi sesebuah negara melainkan dengan kekentalan rakyatnya sendiri.

Kecanggihan persenjataan dan kekuatan ketenteraan semata-mata bukan lagi menjadi faktor yang membawa kemenangan dalam sebarang sengketa yang menjurus kepada peperangan. Kekentalan rakyat ternyata lebih berupaya menewaskan musuh yang menceroboh. Ini telah dibuktikan oleh kemenangan kebangkitan rakyat di Indochina dan bumi Afghanistan beberapa dekad yang lalu. Dan saya yakin dan percaya rakyat di bumi Palestin juga berupaya membuktikannya sekali lagi kepada dunia.


Tuan yang di Pertua,
Rakyat sedang menangis kerana tidak berupaya lagi menghadapi kenaikan harga barangan yang berterusan. Walaupun kerajaan menyatakan inflasi masih terkawal sekitar 3.5 % tetapi pada hakikatnya barangan yang dikira untuk mengukur kadar inflasi kebanyakannya terdiri dari barangan kawalan dan barangan yang disubsidi.

Barangan tanpa kawalan melambong tidak terkawal lagi. Singapura mengakui kadar inflasi negaranya sudah meningkat kepada 7-8 % sedangkan negara masih menyembunyi kadar inflasi sebenar yang dianggar sudah melebihi 9%.

Kuasa membeli suri rumah makin mengucup kerana gaji pekerja tidak mengikut aliran kadar inflasi. Kadar gaji begitu rendah kerana polisi kerajaan untuk memberi pulangan yang tinggi kepada pelaburan modal. Pulangan untuk tenaga pekerja makin menurun. Kerajaan terlalu menekan peningkatan menafaat pulangan kepada peniaga dan pelabur sehingga membelakangkan kebajikan pekerja.

Keuntungan luar biasa dinikmati oleh setengah sektor peniagaan hasil penswastaan, monopoli, kawalan impot dan tarif seperti kereta, IPP, lebuhraya, besi dan sebagainya amat menyakitkan hati rakyat kerana syarikat-syarikat ini dikuasai oleh kroni-kroni kepimpinan negara. Rakyat sudah membuka mata dan menyedari bahawa kerajaan hanya mementingkan peniagaan kroni-kroni mereka daripada menjaga kebajikan pekerja dan rakyat.

Kontraktor-kontraktor baik kecil, sederhana maupun besar banyak terpaksa golong tikar kerana tidak dapat melaksanakan kontrak-kontrak mereka akibat kenaikan harga bahan binaan. Selain sektor pembinaan, bidang-bidang peniagaan lain seperti perkhidmatan, runcit dan sebagainya juga mengalami kemerosotan kerana kekurangan pengguna dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sokongan.

Kadar kebankrapan dikalangan peniaga dan rakyat meningkat begitu tinggi. Sekiranya dibiarkan berterusan maka rakyat tidak lagi mempunyai insentif untuk berniaga dan melabur. Akibatnya negara akan terus mengalami kemerosotan pertumbuhan ekonomi. Ini dapat dilihat daripada penurunan pelaburan dari 30% dari KDNK pada 1996 kepada 9 peratus sekarang dan pelaburan langsung asing dari 8% pada 2002 kepada 4% sekarang.

Akibat kekurangan pelaburan baru, maka peluang pekerjaan makin berkurangan. Peningkatan penggangguran begitu ketara dikalangan lepasan universiti, institusi pengajian tinggi dan sekolah. Masalah ini perlu ditangani dengan cepat dan berkesan sebelum menjadi parah.


Ramai sudah terlibat dalam pelbagai kegiatan tidak bermoral dan gejala sosial yang lain seperti pelacuran, penyeludupan, dadah, kongsi gelap dan sebagainya. Begitu ramai remaja kita ditangkap di luar negara kerana terlibat dalam penyeludupan dadah di peringkat antarabangsa.

Yang di-Pertua,

Apa yang rakyat mahu ialah program pembangunan yang menyeluruh melibatkan pembasmian kemiskinan, pembukaan peluang pekerjaan, peluang pendidikan keperingkat tertinggi dan berqualiti, kemudahan kesihatan yang berupaya rakyat, kemudahan memiliki tempat kediaman, peningkatan kuasa membeli, peluang melibat dalam perniagaan dan pelaburan serta bersaingan bebas dalam ekonomi, persediaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan yang baik dan tidak membebankan, kebebasan mendapat ilmu pengetahuan dan maklumat, kebebasan bersuara mempertahankan hak mereka, sistem kehakiman yang adil dan saksama dan kebebasan melaksanakan tanggungjawab agama.

Cukuplah dengan projek-projek yang membazir, untuk bermegah-megah dan tidak mempunyai nilai kepentingan dan keutamaan rakyat. InsyaAllah, rakyat berpeluang membuat perbandingan pengurusan di 5 buah negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan yang diperintah oleh Barisan Nasional. Minda rakyat sudah terbuka. Selama ini apa yang dicanangkan oleh Barisan Nasional bahawa hanya mereka berupaya mengurus negara tercabar.

Kerajaan pusat dan media bertindak seperti orang gila menyekat peruntukan, program dan projek-projek di 5 buah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat. Media pula seperti diserang hysteria melapor segala keburukan walaupun ia dilakukan semasa pemerintahan Barisan Nasional dulu. Walaupun menghadapi segala cabaran, kami yakin pengurusan di 5 buah negeri ini jauh lebih baik, efisyen, bersih dan telus berbanding dengan yang diperintah oleh Barisan Nasional. Rakyat sudah celek dan tidak boleh diperbodohkan lagi.

Akhirnya, berbalik semula kepada rang undang-undang perbekalan tambahan yang dikemukakan. Melainkan kerajaan menyediakan butiran lengkap dan terperinci kegunaan Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM16.8 billion yang dibentangkan untuk kelulusan Dewan yang mulia ini, saya menegaskan sekali lagi bahawa Perbelanjaan Tambahan Kedua bagi tahun 2007 ini tidak wajar diluluskan.

Saya mengajak Ahli-Ahli Yang Berhormat, baik dari Pakatan Rakyat maupun Barisan Nasional, supaya menolak Belanjawan Tambahan kedua ini.
Wallahu’alam dan terima kasih.
__________________________________
Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com