Thursday, November 12, 2009

Pendedahan Pertama dari Tan Sri Khalid

Selangor Dedah Info Rahsia PErtama

Kerajaan Selangor mendedahkan dokumen satu daripada tiga projek - dikategorikan rahsia oleh kerajaan BN sebelum ini - yang memperincikan perpindahan hak milik tanah rakyat di Bukit Cerakah, Shah Alam kepada pemaju menyebabkan lebih 700 penduduk miskin kehilangan tanah mereka.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pendedahaan maklumat berkenaan berkaitan projek Bandar Alam Perdana, yang sebelum ini dikawal bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), bertujuan untuk memberi gambaran sebenar projek berkenaan.Beliau mendedahkan maklumat itu hari ini berdasarkan bidang kuasanya sebagai menteri besar Selangor seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 2(C) OSA.

Tambahnya, pendedahan melalui risalah yang akan diedarkan kepada masyarakat umum itu juga akan membolehkan petani dan pemilik tanah seluas 17,000 ekar itu mengambil tindakan ke atas pemaju terlibat."Sebelum ini mereka tidak boleh ambil tindakan sebab tidak tahu kedudukan sebenar," katanya dalam sidang media selepas persidangan DUN.

Abdul Khalid menjelaskan, pemilik tanah berkenaan, yang merupakan penduduk miskin, pada asalnya telah diberikan sebanyak tiga ekar tanah pertanian setiap seorang untuk diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.Katanya lagi, pemilik tanah menyerahkan tanah mereka kepada seorang pemaju yang menukarkan status tanah menjadi tanah komersil untuk dimajukan menjadi projek perumahan Bandar Alam Perdana.Tambahnya, petani-petani tersebut telah dijanjikan untuk dibayar RM360,000 bagi tanah berkenaan"Akhirnya pemilik tanah hilang tanah sebab pemaju cagarkan kepada bank, dan 30,000 pembeli rumah tidak mendapat rumah yang dijanjikan," katanya.

"Siapa menteri besar terlibat, siapa usahawan terlibat, semua kita masukkan dalam risalah ini, ada disertakan gambar juga takut salah orang."Ketika ditanya, Abdul Khalid bagaimanapun gagal mengesahkan sama ada berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa oleh mana-mana pihak dalam projek tersebut.

"Tujuan (pendedahan) untuk memberi maklumat. Terpulang kepada kita untuk tahu, dulu tanah pertanian, sekarang kalau kita pergi ke tempat situ, projek terbengkalai," katanya.Katanya lagi, pendedahan ini salah satu daripada usaha untuk membincangkan enakmen baru mengenai kebebasan maklumat di DUN itu nanti.

Jelasnya lagi, risalah itu bertajuk 'Rancangan Revolusi Hijau dan Bandar Alam Perdana: Tanah Hilang, Rumah Tak Dapat' akan mula diedarkan kepada orang ramai pada Isnin depan.Ia juga akan mula dimuatkan di laman web rasmi kerajaan negeri itu esok.

Semalam, Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor akan mendedahkan tiga dokumen berkaitan projek pembangunan di negeri itu yang didakwa telah menguntungkan syarikat-syarikat tertentu bawah pentadbiran BN.

Dua risalah rahsia dijadual didedahkan masing-masing pada 13 dan 16 November ini.


(dipetik dari tranungkite)


___________________________________________________________________

Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com

No comments: