Tuesday, December 1, 2009

BTN, Doktrin Perkauman - Dah Lama Dah#@!

BTN,Dokrin Perkauman -Arif Abdull

Tahniah kepada kerajaan Selangor kerana berani menghalang kaki tangan dan pelajar dari negeri itu dari menghadiri program Biro Tatanegara (BTN). Alasannya, program yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia dibawah seliaan Jabatan Perdana Menteri itu menerapkan doktrinasi api perkauman.

Secara peribadi, penulis sangat berharap agar para pimpinan di negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat (PR) yang lain juga akan berani melaksanakan dasar yang sama. Berani menyanggah kebobrokan pemerintahan Barisan Nasional (BN), terutamanya UMNO yang sentiasa menjadikan isu perkauman sebagai modal politik mereka.

Selama 50 tahun, kita telah dipecah-belahkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO melalui dasar pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah British. BTN yang mula dilaksanakan pada tahun 1974 adalah kursus induksi yang dijalankan secara tertutup dan secara rahsia dengan menggunakan sepenuhnya peruntukan dan jentera kerajaan persekutuan.

Para pemimpin UMNO sering menghalalkan perlaksanaan kursus ini dengan memberi gambaran kepada umum bahawa ia hanyalah kursus bagi menaikkan semangat patriotik dan jati diri. Walhal, selama ini pemimpin UMNO telah menggunakan BTN sebagai alat menyampaikan propaganda hitam perkauman demi memastikan kelangsungan sokongan orang Melayu terhadap UMNO.

Biasanya para pengkritik terhadap perlaksanaan program pemecah-belah ini akan menghadapi kesulitan untuk mengemukakan bukti-bukti bagi membuktikan tuduhan mereka kerana keseluruhan kursus doktrinasi ini dilakukan secara rahsia dan tertutup. Operasinya dilaksanakan kebanyakannya oleh bekas-bekas anggota keselamatan dan sebilangan kecil pensyarah dan ahli akedamik yang mungkin bertindak merancang idea dan pengisian kursus.

Nordin Kardi dengan penuh semangat menyayikan lagu “Anak Kecil Main Api” Nordin Kardi dipercayai sebagai penggerak utama dan idealog, merangkap saintis dan juga mushidul am program BTN.

Sekitar zaman Reformasi sekitar tahun 1998, menurut laporan hasil pemerhatian para bekas peserta BTN mendapati bahawa BTN sangat aktif digunakan dalam usaha UMNO menghapuskan pihak lawan melalui proses pendoktrinan propaganda hitam dan palsu bagi menakutkan rakyat terhadap bahawa kuasa asing.

Dalam kursus-kursus rahsia dan bertutup inilah para peserta yang terdiri di kalangan pelajar dan kaki tangan kerajaan akan dihasut untuk mempercayai bahawa demonstrasi di jalanraya itu adalah agenda kuasa asing.

Gambar potret tokoh-tokoh gerakan mahasiswa serta pendukung Reformasi yang aktif dilaporkan ditayangkan dan menjadi sasaran tuduhan-tuduhan jahat dalam kursus BTN ini.

Pengalaman peribadi, sejak zaman persekolahan lagi penulis sudah sering mendengar rungutan oleh para bekas peserta kursus itu berkaitan isu perkauman yang ditimbulkan setelah mereka mengikuti kursus BTN.

Memang tidaklah ramai bekas perserta yang merungut, namun setiap kali sesuatu kursus BTN berakhir pasti ada saja di kalangan rakan-rakan sekolahku yang cuba memberanikan mempertikaikan agenda perkauman terkandung dalam kursus itu. Tentu saja perdebatannya sekadar terbatas di dalam dorm-dorm (bilik-bilik) asrama kami saja.

Sememangnya majoriti peserta yang baru balik dari kursus BTN ini akan menyokong dan sering berhujah menghalalkan (justification) kewajaran memainkan agenda perkauman dalam kursus tersebut. Pemerhatian peribadi penulis mendapati bahawa kebanyakan bekas peserta kursus yang baru pulang dari kursus BTN pasti akan berubah sikap menjadi agresif dan garang.

Malangnya, para peserta yang berjaya diracuni pemikiran mereka ini akan dengan bangganya mengaku sebagai ‘patriotik’ kepada negara, jika ada di kalangan pelajar yang cuba mempertikaikan tingkahlaku pelik mereka sejak balik dari mengikuti kursus itu.
(dipertik dari MalaysiaToday)



_____________________________________________________________________

Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com

No comments: