Saturday, May 31, 2008

DIARI YAAKOB

JUN 2008

Tarikh 1.6.2008 AHAD
Masa : 9.30 pg
Tempat : Restoran Krish Jaya, Setia Alam
Program : Sesi Dialog Pemimpin Bersama Penduduk-Penduduk Setia Alam,
Seksyen U13 Shah Alam
Catatan : Ng Seng Yung 012-2808230

Masa : 12.00 tgh
Tempat : No. 2, Jalan Raya 7 Serdang Jaya Sri Kembangan
Program : Majlis Kahwin Anak : Ariffin Bin Mat Arof


Masa: 12.00 tgh – 5.00 ptg
Tempat : No. 18, Jalan Baiduri 2A, Tmn Desa Baiduri Cheras Kuala Lumpur
Program : Majlis Perkahwinan Anak : En. Roslan Mahmood/Zurina Bt Ismail
Catatan : 019-663 4339

Masa: 2.00 ptg
Tempat : Jalan Angsa Taman Berkely
Program : Majlis Pembukaan Pusat Khidmat Masyarakat Taman Berkely
drpd : Pejabat ADUN

Masa: 5.00 ptg
Tempat : Padang Taman Industri Pusat Bandar Puchong
Program : Merasmikan Liga Bola Sepak
Catatan : Encik Nizam Iskandar ~ 016-977 0471


Tarikh : 3. 6. 2008 SELASA
Masa : 3.45 ptg
Tempat : Pangkalan Nelayan Kampong Tok Muda Klang, Selangor
Program : Majlis Perasmian & Pelancaran KEBUN KERANG Negeri Selangor
Perasmian : YAB MB Selangor
Pakaian : Kemas
4.00 ptg : Ketibaaan YAB MB


Tarikh : 4. 6.2008 RABU
Program
MESYUARAT EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tarikh 5. 6.2008 - KHAMIS
Masa : 10.00 pg
Tempat : KEKWA
Program : Mesy Bersama Pegawai Daerah / Perlantikan Ketua Kg.
Catatan : Hisham 7891

Tarikh: 6. 6.2008 JUMAAT
Masa : 3.00 ptg
Tempat : Hotel Concorde, Kuala Lumpur
Program : Jemputan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Di antara UPM dengan Puncak Research Centre Sdn.Bhd.
Anjuran : UPM
VVIP : DYMM Sultan Selangor


Masa : 9.00 mlm
Tempat : Dewan MBSA Seksyen 11 Shah Alam
Program : Jemputan Panel Debat Agong “ Tak Melayu Hilang Di Dunia- Realiti Atau Fantasi
Anjuran : Shah Alam Free Speech ( Dato Hj Ahmad Nawawi Bin Dato’ M.Zin )

Tarikh : 7. 6.2008 SABTU
Masa : 8.00 mlm & Isteri
Tempat : Dewan Jubli Perak, SUK
Program : Majlis Malam Karyawan II
Pakaian : Batik /Baju Melayu Sampin/ BKemas
8.15 mlm : Ketibaan YAB MB Selangor
8.20 mlm : Ketibaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Tarikh : 10. 6.2008 : SELASA
Masa : 9.30 pg
Tempat KEKWA Tkt 5
Program : Mesy. Majlis BUSINESS SELANGOR ( Selangor BUSINESS COUNCIL ) Bil 1/ 2008
Catatan :

Tarikh : 11. 6.2008 RABU
MESYUARAT EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Semua jadual adalah tertakluk kepada pindaan dan perubahan. Wasalam.
____________________________________________________



Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com
Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com

Tuesday, May 27, 2008

KUNJUNGAN BAITUL ISLAH





Kunjungan wanita keadilan Shah Alam ke Baitul Islah

Wanita Keadilan Shah Alam telah membuat kunjungan atau lawatan kebajikan ke rumah perlindungan remaja dan wanita Baitul Islah di seksyen 27, Shah Alam pada Isnin 19/5/2008.

Kunjungan kami disambut oleh pengurus pusat tersebut iaitu ustaz Mohd Roslan bin Mat Isa, juga isteri beliau ustazah Siti. Seramai 14 orang wanita keadilan turut serta dalam program ini.
(Sila rujuk akhbar Harian Sinar pada 20/5/08 untuk maklumat tentang baitul Islah ini)

Kami memberi sumbangan berupa barangan dapur seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan lain-lain, serta sumbangan berupa wang tunai.
__________________________________________
Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com

Tuesday, May 6, 2008

TEKS UCAPAN DR WAN AZIZAH

TEKS UCAPAN MENJUNJUNG KASIH KEPADA
DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG
OLEH : DR WAN AZIZAH BINTI DATO’ WAN ISMAIL
KETUA PEMBANGKANG DEWAN RAKYAT
(…bermula pada 30 April)

Tan Sri Yang di-Pertua,

Saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan junjungan kasih tidak terhingga di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Sultan Mizan mencemar duli bagi merasmikan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Kedua Belas di dewan yang mulia ini.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kepercayaan dan sokongan rakan-rakan seperjuangan dari kalangan parti-parti Pakatan Rakyat; Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), DAP dan PAS yang memberi mandat kepada saya sebagai Ketua Pembangkang. Mandat ini melakarkan satu sejarah perlantikan Ketua Pembangkang wanita yang pertama dalam dewan yang mulia ini. Apatah lagi Dewan Rakyat kali ini pula mencatat sejarah di mana pembangkang menafikan majoriti dua pertiga parti pemerintah. Dengan demikian kerajaan tidak lagi boleh menjadikan dewan ini untuk membolos apa sahaja kemahuan mereka tanpa mengambil kira pandangan Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada kalangan parti-parti Pakatan Rakyat.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bangkit memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya baru-baru ini dimana beberapa keputusan bersejarah telah dilakarkan. Di peringkat pilihanraya parlimen, pada keseluruhannya 3,796,464 undi atau 49.4% undi popular diperolehi oleh calon-calon pembangkang. Natijahnya kini Dewan Rakyat menyaksikan kehadiran 82 orang Ahli-Ahli Yang Berhormat dari pembangkang.
Kerana perkiraan sistem dan amalan demokrasi ala Westminster dengan izin, yang masih digunapakai dalam negara kita, pihak pembangkang yang memperolehi 49.4% undi popular hanya diwakili oleh 36.9% bilangan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jika sistem perwakilan berkadar atau ’proportionate representation’ dengan izin, digunapakai secara mutlak bagi pilihanraya lalu, maka pada hari ini pembangkang seharusnya paling tidak diwakili oleh 110 Ahli, berbanding 112 Ahli bagi Barisan Nasional, iaitu perbezaan hanya dua kerusi.
Meskipun demikian, kita bersyukur bahawa rakyat juga telah membuat keputusan dengan memberi mandat kepada pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Saya yakin dan percaya, segala keputusan ini merupakan isyarat jelas bahawa rakyat ingin perubahan, yakni perubahan ke arah Malaysia baru di masa hadapan.

InsyaAllah, mandat yang diberikan rakyat tidak akan disia-siakan dan kami akan memastikan suara dan harapan mereka akan diungkit dan diisi bukan sahaja dalam Parlimen tetapi di mana jua ruang dan peluang yang ada.

TAHANAN ISA

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pertama sekali yang ingin saya kemukakan sebagai memulakan tugas rasmi saya sebagai Ketua Pembangkang dalam dewan yang mulia ini ialah dengan ikhlasnya saya meminta kerajaan agar membebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan segera tanpa syarat atau bicarakan mereka dalam mahkamah terbuka jika terdapat sebarang pendakwaan terhadap mereka.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1960, akta ISA telah menjadi alat yang paling berkuasa bagi pihak eksekutif untuk menahan seseorang individu atau kumpulan tanpa bicara. ISA juga menyekat kebebasan individu dan meningkatkan kuasa eksekutif serta melemahkan kuasa mahkamah dari menyemak sebarang ketidakadilan. Selain menjadi ancaman terhadap hak asasi manusia, ISA juga mempunyai kesan terhadap masyarakat sivil dan ianya menjejaskan kegiatan dan penglibatan politik di Malaysia.
ISA seringkali digunakan untuk menyekat aktiviti politik, akademik, sosial serta mencengkam pandangan badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti politik. Dengan ugutan dan ancaman penggunaan ISA, ia juga sering disalahgunakan untuk mempertahankan kepentingan mereka yang berkuasa dan bukan untuk kepentingan keselamatan negara.

Saya ingin menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa sejak ISA digubal dan dijadikan Akta, bilangan mereka yang pernah ditahan dibawah ISA kini sudah mencecah angka seramai 10,711 orang; kesemuanya ditahan tanpa bicara. Dalam pengamatan kami, kini terdapat seramai 70 orang yang sedang ditahan di bawah ISA di kem tahanan Kamunting; tahanan-tahanan tersebut dilabelkan sebagai Jemaah Islamiyyah (seramai 29 orang), Darul Islam (17 orang), Dokumen Palsu/dan syiling (8 orang), Agen Perisik Asing (7 orang), HINDRAF (5 orang), Gerakan Pemisah Thai (2 orang), Nuklear (1 orang) dan Pendatang Tanpa Izin (1 orang).

Melalui dewan ini, pertamanya kerajaan dituntut supaya membebaskan semua tahanan ISA dengan segera tanpa sebarang syarat atau dakwakan mereka di mahkamah terbuka jika terdapat sebarang tuduhan menurut undang-undang. Keduanya, kerajaan dituntut supaya menutup kem tahanan Kamunting di Taiping, Perak dengan segera. Ketiganya, kerajaan dituntut supaya memansuhkan ISA.


EKONOMI DAN PEMBANGUNAN NEGARA

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kita perlu menakrif semula asas baru falsafah dan konsep negara tercinta ini. Mengekal yang baik dan membasmi serta menghapus segala keburukan, penyalahgunaan kuasa, pembaziran kewangan dan ekonomi, dan manipulasi polisi awam secara sistematik dan terancang untuk kepentingan peribadi.
Kita akan kemukakan idea-idea baru untuk penyelesaian dalam pengurusan ekonomi. Kita juga akan mencadang keperluan reformasi agar negara muncul sebagai sebuah negara yang benar-benar demokratik. Mengambil yang baik dari pengalaman lama berserta dengan suntikan idea-idea baru kita akan membina asas baru falsafah dan konsep negara dengan mengambil kira Agenda Ekonomi Malaysia dan memulakan reformasi bagi memasti keadilan dan kesaksamaan terlaksana untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

Yang di-Pertua,

Ekonomi moden negara diasas dari pembangunan industri getah dan timah. Kemudian pada dekad 70an dan 80an kita berjaya menyusun semula asas ekonomi dengan menjadi pusat pengeluaran semikonduktor dan barangan elektronik pengguna yang sehingga hari ini menyumbang kepada lebih 30% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK. Kita berterima kasih kepada perancang awal ekonomi negara yang membuat penilaian betul dan tepat pada ketika itu.
Penemuan minyak dan gas di persisiran pantai negara pada dekad yang sama telah menjana sumber kekayaan dan asas baru ekonomi dengan pembangunan industri berasaskan petrol dan petrolkimia berpusat di Sarawak, Sabah, Pantai Timur Semenanjung, Johor dan Melaka. Pada dekad yang sama juga negara memberi penekanan dan tumpuan yang besar kepada kajian dan penyelidikan dalam industri minyak kelapa sawit dan berjaya menghasilkan industri minyak sawit terbesar dunia satu ketika dulu.

Pada perkiraannya negara sepatutnya sudah menjana kekayaan yang berupaya menanggung seluruh rakyatnya dengan selesa. Ia sepatutnya berupaya menyediakan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan awam bertaraf dunia pertama kepada rakyatnya pada kadar tol, caj dan cukai yang munasabah dan berpatutan. Negara sepatutnya berupaya menyediakan kemudahan asas kesihatan dan pendidikan secara percuma.
Dalam perumahan, negara sepatutnya menyediakan kemudahan yang upaya dimiliki penduduk dalam usaha menggalakkan pemilikan rumah oleh rakyat. Secara teori ekonomi kita sepatutnya berdaya menyediakan pendapatan yang baik kepada semua golongan berasaskan sumbangan produktif mereka dalam ekonomi.
Dengan hasil bumi yang kaya, barangan komoditi yang pelbagai dan daya usaha gigih di kalangan penduduk ekonomi kita sepatutnya cukup dan amat berjaya dan menduduki tangga ekonomi terbilang dunia.

Namun demikian, rakyat kini kian terhimpit dengan peningkatan kos saraan hidup yang begitu ketara dengan inflasi yang tidak dapat dikawal termasuk keperluan asas isi rumah. Keluarga sederhana tertekan untuk memenuhi keperluan dan saraan hidup harian kerana terpaksa membayar penggunaan kemudahan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.
Ramai tidak dapat memenuhi tuntutan bayaran bulanan dan rumah-rumah terutama rumah kos rendah dan sederhana terlelong meningkat tahun demi tahun. Bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terdiri daripada lebih 50% daripada penduduk negara, keupayaan menyimpan sudah hampir tiada.
Tetapi 10% lagi rakyat yang berada di sekeliling pusat pembangunan pesat menikmati kemewahan ketara hasil hubungan rapat mereka dengan kepimpinan negara. Jurang pendapatan di antara 10% rakyat terkaya dan 90% yang lain begitu ketara.
Daripada perubahan kepada ekonomi moden sepertimana dibayangkan dalam Wawasan 2020 dimana jurang pendapatan dirapatkan dikalangan penduduk setiap tahun, negara diselubungi dengan pelbagai masaalah.

Laporan Pembangunan Insan Bangsa-Bangsa Bersatu (2007) menunjukkan Malaysia mempunyai jurang pendapatan diantara yang kaya dengan yang miskin paling tinggi di Asia Tenggara dan yang kedua tertinggi di Asia selepas Papua New Guinea. 10% rakyat terkaya menguasai 38.4% kekayaan negara manakala 10% rakyat termiskin memiliki hanya 1.7%. Inilah simbol dan manifestasi kerasuahan dan kerakusan polisi ekonomi negara yang cuma mengejar kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK

Tan Sri Yang di-Pertua,

Sebenarnya kita berhadapan dengan kesilapan dalam pengurusan ekonomi sejak kerajaan memperkenalkan konsep Pensyarikatan Malaysia atau “Malaysia Incorporated” dengan izin, yang menyamakan negara sebagai sebuah syarikat. Manakala syarikat ini membuat keputusan dan pertimbangan tanpa perlu merujuk kepada pemegang saham terbesarnya iaitu rakyat. Rakyat hanya boleh persoal melalui sidang parlimen yang diwakili oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Oleh kerana wujud dominasi parti pemerintah yang begitu mutlak di Parlimen pada ketika itu, maka tiada banyak halangan bagi kerajaan untuk melakukan apa saja demi kepentingan mereka. Dalam banyak hal, rakyat tidak tahu menahu apa yang kerajaan lakukan kerana semua saluran maklumat dikuasai dan dikongkong oleh kerajaan. Pertanggungjawaban dan ketelusan diketepikan dengan alasan untuk memecut pembangunan ekonomi.

Di bawah konsep ini kerajaan mengalihkan ratusan billion ringgit sumber kewangan negara (dianggarkan antara 500-550 billion ringgit) yang hampir kesemuanya dipinjam dari institusi kewangan baik dalam maupun luar negara ke dalam projek-projek mega termasuk Masjid Kristal.
Kebanyakan projek diluluskan tanpa penilaian ekonomi dan kewangan yang teliti. Rasionalnya kerajaan kaya dan berupaya meminjam dari pendapatan masa depan. Sejak 9 tahun yang lepas perbelanjaan kerajaan mengalami defisit antara 4.5% - 6.5 % daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK setiap tahun.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Banyak projek-projek dianugerah secara penswastaan dengan syarat-syarat perjanjian yang amat menguntungkan penerima konsesi dan tanpa menekan untuk menjadi lebih efisien dan murah. Ini termasuk Penjana Tenaga Bebas atau ‘Independent Power Producer’, MAS, LRT, pembinaan hospital, bekalan perubatan, makmal perubatan, pemeriksaan kenderaan, bekalan air dan sebagainya.
Hampir semua diluluskan dengan harga yang melambung tinggi akibat ketiadaan tender terbuka. Banyak tidak memenuhi kriteria asas ekonomi dan kewangan bagi memasti daya kejayaannya. Semua mengandungi elemen subsidi, baik secara langsung atau tidak langsung, sama ada melalui geran, kadar tol dan caj yang tinggi kepada pengguna atau konsesi cukai. Banyak dijamin kerajaan untuk mendapat pinjaman dalam pelaksanaan projek-projek ini. Nisbah kos faedah atau ‘cost-benefit ratio’ tidak pernah ditakrif dan diumum tetapi dipilih untuk pelaksanaan di bawah slogan penswastaan.

Dalam hampir semua kes, kerajaan mewajarkan kelulusan projek-projek ini kerana negara perlu menyediakan persekitaran sesuai untuk menarik pelaburan baik tempatan mahupun asing. Apabila projek-projek mega ini siap tidak ramai pula pelabur tertarik tetapi makin berkurangan tahun demi tahun, baik swasta maupun pelaburan langsung asing.
Malah, pelaburan menjunam dari 30% pada 1996 kepada hanya 9% dari KDNK sekarang. Pelaburan langsung asing pula menjunam dari 8% pada 1996 kepada 4% sekarang ini. Penurunan ini di antara yang paling parah dalam dunia.

Kerajaan selalu memberi alasan bahawa penurunan ini disebabkan kemelesetan ekonomi dunia sedangkan pelaburan tetap meningkat di banyak negara termasuk Cina dan Vietnam. Di India sejak 5 tahun yang lepas pelaburan meningkat dari 22% kepada 34% daripada KDNK mereka. Di Brazil pula, pelaburan meningkat dari 15% kepada 27% dari KDNK mereka.

Kekurangan pelaburan bermakna negara akan ketinggalan dimasa hadapan. Walaupun kerajaan berbangga dengan lebihan akaun semasa yang meningkat dari 8% pada 2002 kepada 14% dari KDNK pada 2007, tetapi hakikatnya ia merupakan penurunan pelaburan kerana kita tidak lagi mengimport barangan modal untuk pelaburan.

Pertumbuhan ekonomi sejak 5 tahun lepas pula dijana oleh perbelanjaan peribadi yang dibiayai oleh pinjaman menyebabkan kadar hutang isirumah rakyat Malaysia merupakan yang paling tinggi dirantau ini. Dan ini tidak boleh bertahan lagi melainkan kerajaan mengubah falsafah dan konsep negara.

Rakyat terpaksa membayar segala pembaziran yang dilakukan selama ini. Kerajaan terus membebankan rakyat bagi mengurang subsidi kepada pemegang konsesi projek dengan mengenakan bayaran caj dan tol yang tinggi bagi kegunaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan. Kerajaan terus membiar pemegang konsesi mengaut keuntungan yang tinggi dan berterusan dengan menyambung hayat konsesi mereka. Kerajaan sentiasa menegaskan inilah ‘win-win situation’ untuk semua melainkan rakyat yang terpaksa menanggungnya.

Sekarang bagaimana kerajaan boleh mengurangkan kadar tol dan caj bagi kegunaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan yang disediakan. Pemegang konsesi menuntut subsidi yang berterusan dan kerajaan terpaksa membayarnya. Dana yang sepatutnya boleh digunakan untuk memenuhi keperluan asas rakyat yang lain makin berkurangan.

Sebagai contoh kerajaan tidak dapat menyelesaikan perjanjian berat sebelah yang amat menguntungkan pemegang konsesi IPP, yakni ‘Independent Power Producer’ dan terus membebankan Tenaga Nasional dan rakyat, walaupun kerajaan memberi pelbagai jaminan untuk menyelesaikannya dalam masa terdekat.
Kos Tenaga Nasional mengeluarkan 1 unit tenaga hanyalah 8.5 sen berbanding dengan kos yang terpaksa dibeli dari IPP dengan harga 15.5 sen satu unit. Petronas terpaksa memberi subsidi lebih daripada 58 billion ringgit kepada IPP kerana harga bekalan gas telah ditetapkan sepanjang jangka hayat kontrak IPP, sedangkan harga gas sekarang sudah melambung tinggi. Hasilnya kerajaan kekurangan dana dan rakyat terpaksa menanggung kos kenaikan elektrik.

Kerajaan heboh dengan subsidi petrol yang diberi kepada rakyat. Tetapi jumlah subsidi 38 billion ringgit tersebut masih kecil, berbanding dengan subsidi yang diberikan kepada pemegang konsesi IPP ini. Inilah yang dikatakan kerajaan hanya mementingkan keuntungan pemegang konsesi dan terus membiarkan rakyat dibebankan dengan kenaikan kos, caj dan tol.

Begitu juga dengan penswastaan perkhidmatan kesihatan dimana pembinaan hospital, bekalan perubatan, makmal perubatan dan sebagainya diswastakan. Hasilnya kos pengendalian dan perkhidmatan hospital melambung tinggi. Rakyat tidak lagi berupaya menanggung kos pemeriksaan dan perubatan kerana kosnya meningkat.
Apatah lagi sekiranya rawatan memerlukan penggunaan pelbagai peralatan maka kosnya tidak tertanggung oleh rakyat. Ramai terlantar dirumah kerana tidak beupaya menanggung kosnya. Sepatutnya negara kita berupaya menyediakan perkhidmatan perubatan percuma kepada rakyat miskin dan mengurangkan beban kepada rakyat umum. Kami meminta kerajaan mengkaji semula kaedah penswastaan perkhidmatan kesihatan ini dan menjadikan perkhidmatan kesihatan yang berupaya dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Kita alu-alukan wacana mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB); relevan dan keberkesanannya setelah diamalkan selama hampir 40 tahun. Kita tidak pernah menafikan kebijaksanaan dasar tersebut tatkala ia dilancarkan. Malah, kita mengakui manfaatnya kepada rakyat termasuk bumiputera terutama dalam bidang pendidikan. Namun penyalahgunaannya terlalu ketara. Berpuluh billion ringgit dikaut oleh segolongan kecil atas nama DEB.

DEB telah dimanipulasi untuk mengalih kontrak terus ke tangan kroni yang diutamakan atau terpilih. Justeru, DEB mesti diubah dan digantikan dengan yang lebih wajar dan bermakna kepada bumiputera dan rakyat Malaysia yang lain. Amat malang buat bumiputera manakala hanya kelompok kayaraya yang mendabik dada dan melaung supaya ia diteruskan.
Yang perlu dihiraukan adalah nasib majoriti bumiputera, Melayu di desa, Kadazan dan Murut, Iban dan Bidayuh dan lain-lain di pendalaman dan pesisiran pantai. Namun, pendekatan baru ini harus telus, mengambil kira kepentingan kaum Cina dan India terutama yang miskin dan terpinggir.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Masaalah besar yang dihadapi ekonomi sekarang ini ialah pengagihan manfaat kepada segelintir masyarakat menyebabkan kesan manfaatnya tidak mengalir ke peringkat pertengahan dan akar umbi masyarakat.

Kita perlu memikir dan memperhebat gabungan dan kepelbagaian program dan projek seperti skim mikro kredit, pemodenan ladang pertanian, pengedaran dan penjualan hasil dalam pasaran, skim pelaburan, skim berorientasi kebajikan dan sebagainya untuk meningkat pendapatan lapisan masyarakat bawahan ini dengan lebih berkesan. Yang paling penting ialah program untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kumpulan ini melalui ikhtiar yang produktif.

Kita menerima prinsip dan keperluan dasar tindakan affirmatif yang akan menghasilkan penyertaan bumiputera, golongan miskin dan terpinggir lainnya. Usaha mewujudkan golongan pedagang dan usahawan bumiputera perlu diperhebatkan menurut kerangka tindakan tersebut. Kita akan melindungi, memelihara dan membimbing mereka yang benar-benar mengurus pengeluaran dan menyediakan perkhidmatan kepada sektor awam dan swasta.

Kita telah mengolah Agenda Ekonomi Malaysia untuk memacu pertumbuhan yang lebih segar dan berdaya saing serta menggariskan program tindakan affirmatif untuk semua agar mereka dapat menceburi dan bersaing secara adil dan saksama dalam ekonomi negara.

INTEGRITI KERAJAAN
Tan Sri Yang di-Pertua,

Integriti kerajaan dalam pengurusan ekonomi kian teruk terjejas apabila pemimpin kerajaan merestui rasuah dan pembaziran, mengamalkan nepotisme dengan mengagihkan kontrak dan saham kepada keluarga serta mengamalkan kronisme dengan memperkayakan kelompok kecil.

Dalam kes terkenal yang melibatkan pembekalan peralatan tentera atau secara spesifik kapal selam Scorpene bernilai 4.5 billion ringgit yang dibuat secara rundingan, komisyen yang melampau sebanyak 530 juta ringgit telah dibayar oleh pembekal kepada Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki oleh Abdul Razak Baginda, penasihat kepada Menteri Pertahanan. Begitu juga dengan pembelian jet pejuang Sukhoi bernilai 3.2 billion ringgit dimana syarikat IMT Defence Sdn Bhd yang dikuasai oleh Adib Adam bekas Ketua Menteri Melaka dan Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah mendapat komisyen sebanyak 380 juta ringgit.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Zainal Abidin Zin memberitahu Parlimen bahawa komisyen tersebut dibayar untuk penyelarasan dan khidmat sokongan oleh pembekal dan tidak oleh kerajaan. Ia tidak memerlukan seorang yang genius untuk menyedari bahawa sebenarnya kerajaan yang menanggung pembayaran komisyen tersebut melalui nilai yang dilambungkan untuk mengambil kira bayaran komisen itu. Tanggapan rakyat ialah ia mungkin bukan komisyen tetapi rasuah di antara pemimpin tersebut dengan individu yang mendapat komisen itu.

Dalam laporan audit yang dibentangkan dalam Parlimen pada 7 September 2007 didapati bahawa PSC-Naval Dockyard yang dimiliki oleh Amin Shah Omar Shah ketika itu sepatutnya membekal 27 kapal peronda bernilai 24 billion ringgit tetapi sehingga pertengahan 2006 hanya 2 buah kapal peronda sahaja yang siap. Itu pun terdapat 298 komplain yang dikemukakan dan 383 peralatan tidak dibekalkan.
Kontrak asal bernilai 5.35 billion ringgit meningkat kepada 6.75 billion ringgit sehingga Januari 2007. Kementerian Pertahanan membayar 4.26 billion ringgit walaupun kerja siap hanya bernilai 2.87 billion ringgit, iaitu lebihan bayaran sebanyak 1.39 billion ringgit atau 48%. Anihnya, kabinet pula meluluskan pengecualian penalti sebanyak 214 juta ringgit.

Kerajaan dituntut supaya tidak berlengah lagi untuk menjalankan penyiasatan rapi terhadap kepincangan dan penyelewengan yang berlaku. Ini penting agar tiada percubaan dibuat untuk melindungi mana-mana pemimpin kanan kerajaan dan menutup skandal rasuah pembelian senjata yang melibatkan berbillion ringgit wang rakyat.

Maka dengan itu, saya mencabar Perdana Menteri supaya menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menjalankan penyiasatan dengan segera. Penyiasatan ini harus rapi bagi mendedahkan kepincangan dan penyelewengan dalam pembekalan peralatan ketenteraan yang melibatkan pembayaran dari dana awam dengan cara yang tersangat meragukan.

Kita perlu menyisih segala jenis sistem yang menyebabkan rakyat sangsi ke atas integriti kerajaan dalam pengurusan ekonomi. Bila kesangsian dibentuk dan berterusan, maka amat sukar pihak berkuasa mengurus ekonomi dengan berkesan kerana setiap keputusan akan dipersoal dan dipersendakan. Akibatnya rakyat bertambah ragu terhadap integriti kerajaan dan kepimpinan negara.

KRISIS MAKANAN
Tan Sri Yang di-Pertua,

Akhir-akhir ini banyak diperkatakan bahawa dunia sedang menghadapi krisis makanan dimana pengeluaran beras dan bahan-bahan makanan lain tidak dapat memenuhi permintaan yang makin meningkat dan menyebabkan harganya melambung tinggi. Kekurangan berlaku kerana permintaan yang tinggi terutamanya daripada China dan India, pertambahan penduduk dunia, berkurangnya kawasan pertanian untuk memberi laluan kepada pembangunan hartanah dan industri, kurangnya insentif untuk penerokaan kawasan baru untuk penanaman padi, kekurangan air kerana digunakan untuk industri, cuaca dan kenaikan harga bahan bakar.

Yang menghairankan, hampir semua negara-negara Asia dapat menghasilkan padi dan beras bagi memenuhi keperluan dalam negara mereka melainkan 4 buah negara iaitu Filipina, Bangladesh, Singapura dan Malaysia! Hatta, negara-negara Asia yang maju industri seperti Jepun, Korea dan Taiwan dapat menghasilkan beras melebihi keperluan dalam negara mereka. Kerajaan perlu memandang serius perkara ini dan menjadikan agenda pengeluaran padi dan beras mencukupi untuk keperluan negara sebagai agenda penting sepertimana Jepun menjadikan pengeluaran padi dan beras sebagai agenda pertahanan negara.

Sepatutnya daripada berbelanja berbillion ringgit untuk kapal selam dan kapalterbang Sukhoi, lebih baik kerajaan memberi tumpuan dalam meningkatkan ransangan bagi sektor pertanian khasnya dalam rangka menjamin pengeluaran makanan yang mencukupi untuk keperluan rakyat dan juga sebagai persiapan dalam pertahanan negara.
Kami menggesa agar usaha yang bersungguh-sungguh, baik bagi peringkat kerajaan persekutuan maupun kerajaan-kerajaan negeri, dilakukan untuk membantu golongan petani dan penanam padi. Peruntukan dana awam harus dijamin untuk program pembinaan keberdayaan masyarakat tani kita bagi menghasilkan pengeluaran makanan yang memenuhi keperluan negara.

PENDIDIKAN DAN MODAL INSAN
Tan Sri Yang di-Pertua,

Pengurusan ekonomi semakin kompleks dan perlu kepada penyelesaian baru baik domestik mahupun peringkat global. Dalam usaha mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi kita tidak boleh lagi beranggapan berbelanja melalui ciptaan beberapa projek mega atau infrastruktur koridor atau asas ekonomi baru untuk menjana permintaan masa depan. Kita sudah melihat pemikiran sedemikian tidak berjaya dan tidak berhasil.

Atas asas ini bagi memasti masa depan yang dinamik, usaha konkrit patut dilakukan untuk mengubah komponen ekonomi modal insan bersesuaian dengan ekonomi global. Kita perlu membina semula asas baru ekonomi dengan meningkatkan nilai modal insan demi masa depan negara.

Saya ingin memberi contoh dimana pembangunan koridor tersilap sepertimana pembangunan Cyberjaya. Tidak ada sebab untuk mempercayai apa yang dipanggil pembangunan koridor-koridor yang dicadangkan kerajaan tidak mengalami nasib yang sama seperti Cyberjaya.

Apabila kerajaan bercadang mencipta asas baru ekonomi berlandaskan teknologi maklumat, kerajaan mengarahkan pelaburan kepada pembangunan infrastruktur dan hartanah di Cyberjaya. Bagaimana ia boleh menjana pembangunan ekonomi berasaskan teknologi maklumat melalui pembangunan infrastruktur dan hartanah, sedangkan pembangunan teknologi maklumat di asaskan melalui idea, pengetahuan dan aplikasi komputer.
Nilai hakiki pembangunan teknologi maklumat bermula dari modal insan yang menjurus kepada sistem pendidikan negara. Kualiti dan pengetahuan yang disampaikan di universiti memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan ini yang kemudian boleh digunapakai dalam pembangunan ekonomi berasaskan teknologi maklumat atau keusahawanan produktif yang lain.

Semua mengetahui semasa kita membangun Cyberjaya, prestasi universiti kita merundum terutama dalam bidang sains dan teknologi. Kita tidak mempunyai persediaan yang mencukupi apabila melancarkan pembinaan Cyberjaya. Dengan demikian kita gagal mencipta ekonomi berasaskan teknologi maklumat, walaupun kerajaan membelanja berbillion ringgit dalam pembangunan koridornya.
Cyberjaya merupakan contoh terbaik dimana kerajaan gagal mengambil kira fundamental dan hakikat asas ekonomi teknologi maklumat sebelum membangun Cyberjaya. Apa yang di kehendaki oleh pemimpin politik ketika itu ialah pujian dan pujaan sertamerta dari pemimpin dunia dalam pembangunan Cyberjaya, dan bukannya pulangan ekonomi yang sepatutnya membina asas baru ekonomi negara. Sehingga hari ini hasil pulangannya masih kabur.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Pembaharuan dan perubahan dalam modal insan amat diperlukan dalam menghadapi persaingan sengit ekonomi global. Seperti yang dapat dilihat di India dan Ireland pembangunan teknologi maklumat adalah hasil langsung sistem pendidikan kelas pertama yang diperlukan dalam era teknologi maklumat.
Dalam contoh kedua-dua negara tersebut, pembangunan infrastruktur dan hartanah datang selepas pengumpulan kebolehan modal insan dan pembentukan asas teknologi maklumat dalam ekonomi negara dan bukan sebelum itu. Ini membawa kita kepada keperluan menaksir semula pengurusan ekonomi negara dengan memberi penekanan untuk membincang segera dan bersungguh-sungguh masaalah yang dihadapi untuk memulih kedudukan persaingan ekonomi negara dalam arena global.

Dalam hubungan ini, kita tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa memperhebatkan lagi usaha meningkat prestasi dan kualiti pendidikan dalam sistem universiti kita. Kita kena pastikan graduan yang dikeluarkan berkualiti dan ‘marketable’. Sistem pendidikan kita mesti berupaya mendidik modal insan yang bersedia diserapkan dalam perusahaan negara sama ada melalui syarikat multinasional atau keusahawanan atau bekerja di luar negara.
Saya difahamkan ada kalangan professor di universiti tempatan terpaksa menyelia hingga 10 pelajar Phd sedangkan di universiti terbilang dunia seliaan tidak lebih daripada dua atau tiga orang sahaja pelajar dalam satu masa. Bagaimana kita hendak meningkatkan kualiti modal insan kalau demikianlah halnya dalam sistem di universiti dalam negara kita.

Sistem pendidikan juga boleh digunakan untuk mengimbangi kedudukan struktur sosio-ekonomi negara. Golongan lemah dan tidak berkemampuan harus diberi peluang seluas-luasnya untuk mengubah kedudukan sosio-ekonomi mereka agar dapat sama-sama bersaing dalam arus pembangunan negara. Keutamaan yang diberi kepada golongan ini tidak bermakna kita perlu merendahkan standard pendidikan kita tetapi mereka perlu memenuhi standard dan kualiti yang ditetapkan oleh institusi pengajian dan keperluan ekonomi negara.

Kami menganggap pembangunan modal insan merupakan komponen kritikal dan terpenting dalam pembangunan ekonomi negara ketika ini. Kalau dilihat ekonomi terulung Asia, khasnya Jepun, Taiwan dan Korea, mereka tidak mempunyai sumber asli tetapi menjadi pesaing ekonomi global yang berjaya kerana keupayaan menakrif semula isi kandungan modal insan mereka. Malaysia perlu melakukan perkara yang sama.
Kita mesti mengalih mentaliti daripada pembangunan jenis infrastruktur atau pembangunan ala koridor dan memberi tumpuan kepada peningkatan tahap modal insan dengan menggalakkan innovasi berdasarkan idea yang kreatif dan penerapan pengetahuan baru ke dalam sistem. Kami percaya itulah pemancu asas baru pembangunan ekonomi negara.

KEHAKIMAN
Tan Sri Yang di-Pertua,

Kami mengalu-alukan titah dan saranan Pemangku Sultan Perak Raja Dr. Nazrin Shah agar ditubuhkan Suruhanjaya Kehakiman bagi memulihkan semula imej badan kehakiman dalam perasmian Persidangan Tahunan Majlis Hakim Malaysia 2008 pada 9hb April baru-baru ini. Ini bagi memastikan keyakinan rakyat ke atas badan kehakiman pulih semula dan tidak tertakluk dibawah kuasa eksekutif.

Saranan tersebut sangat bertepatan memandangkan sistem kehakiman tidak lagi bebas, tercemar dan boleh dirasuah sepertimana terdedah dalam kes video VK Lingam. Pendedahan dalam kes ini hanya sedikit atau ‘tip of the iceberg’.
Banyak lagi kes-kes yang disangsikan mendapat keadilan di bawah sistem kehakiman sekarang termasuk pendakwaan terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Yang Berhormat Lim Guan Eng dan Yang Berhormat Wee Choo Keong.

Peristiwa kebelakangan ini jelas menunjukkan kuasa eksekutif memijak sistem kehakiman negara. Ketua Hakim Negara sendiri mengakui persepsi negatif masyarakat terhadap sistem kehakiman. Ini satu pengakuan yang berbuka bahawa sistem kehakiman berat sebelah, rasuah dan pengadilannya boleh diatur.
Saya dan semua ahli Pakatan Rakyat berpendapat sebenarnya ia bukan lagi persepsi tetapi ternyata dan terbukti. Demokrasi sebenar yang menjamin budaya cemerlang ekonomi berhajat kepada sistem kehakiman yang bebas, berkecuali dan adil.

Hakim-hakim tidak boleh membiarkan penghakiman mereka curang oleh dorongan sama ada kewangan, kenaikan pangkat atau kepentingan peribadi. Perbuatan ini akan membawa kerosakan teruk kepada pentadbiran keadilan dan kepentingan ekonomi negara. Tidak menjadi rahsia lagi, kemerosotan pelaburan langsung asing dan keengganan syarikat multinasional menandatangani perjanjian yang memperuntukkan pertikaian dirujuk kepada perundangan Malaysia kerana kesangsian dan pengalaman pahit mereka dengan sistem kehakiman negara.
Dari pengalaman itu, datang kesedaran kedudukan sebenar dan terbukti bahawa sistem kehakiman negara tidak boleh dipercayai untuk mendapat keadilan yang saksama, berkecuali dan adil dalam pentadbiran undang-undang negara. Bersemuka dengan kenyataan ini, ramai dari kalangan mereka mengambil keputusan lebih baik berpindah ke negara lain.

Atas dasar ini, negara perlu memberi nafas baru untuk menjadi sebuah negara demokrasi sebenar dengan membuat reformasi ke atas sistem kehakiman negara yang bebas, berkecuali dan adil. Ia sepatutnya menjadi keutamaan negara. Kerajaan telah mengumumkan hasrat penubuhan Suruhanjaya Kehakiman.
Walaupun terlewat, ianya merupakan langkah yang dialu-alukan ke arah mengembalikan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem kehakiman negara. Namun demikian, masih terdapat kesangsian dan kekhuatiran mengenai cadangan tersebut. Sejauhmanakah keupayaan dan keberkesanannya? Apakah kerajaan dapat memberi jaminan bahawa ia tidak akan berdolak-dalih dalam melaksanakan syor-syor suruhanjaya itu nanti?
Kita tidak mahu nanti Suruhanjaya Kehakiman mengalami nasib seperti Suruhanjaya DiRaja yang ditubuh kerajaan bagi menambahbaik pasukan polis. Kemudiannya, setelah syor dikemukakan untuk membentuk satu mekanisme penyemakan yang bebas mengenai aduan dan salahlaku polis atau lebih dikenali sebagai Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC), cadangan penubuhannya masih kabur, malahan tidak kedengaran lagi.

Kesimpulannya, reformasi badan kehakiman amat diperlukan bagi memulihkan kembali kebebasan kehakiman. Malahan apa jua bentuk reformasi terhadap sistem pengadilan negara mesti tidak mengecualikan Jabatan Peguam Negara dan Polis Di Raja Malaysia agar tidak berbangkit lagi amalan pincang seperti penyiasatan terpilih dan juga pendakwaan terpilih.

ANTARABANGSA
Tan Sri Yang di-Pertua,

Malaysia merupakan anggota ASEAN, APEC, Komanwel, OIC, PBB dan sebagainya. Dalam arena antarabangsa, tentunya kita tidak seharusnya terasing terhadap apa-apa yang berlaku disekeliling kita, baik sebagai jiran, serantau maupun global. Malahan, dalam kapasiti atau kepentingan yang sah, kita perlu mempunyai sikap dan pendirian yang jelas dan tegas untuk mempertahankan kedaulatan negara dan bertindak seiring dengan tuntutan nilai dan keadilan sejagat.
Dalam hubungan ini, kita tidak seharusnya bersikap apologetik, membisu atau menyepikan diri daripada menyumbang dan memainkan peranan dalam arena dan forum antarabangsa untuk mempertegaskan pendirian kita dengan sewajarnya.

Malaysia pernah diberi mandat mewakili negara-negara Islam sebagai Pengerusi OIC. Harapan ummah dikecewakan kerana Malaysia tidak mengambil tindakan berkesan untuk membela nasib negara dan umat Islam di serata dunia. Malaysia dilihat lemah dan lesu dalam menangani konflik yang melanda negara-negara Islam.
Semasa Malaysia menjadi Pengerusi OIC, ia dilihat kaku dan tidak berperanan dalam menangani konflik di Timur Tengah khasnya campurtangan Amerika Syarikat bersama beberapa negara Barat lain di bumi Iraq dan keganasan berterusan regim Israel di Palestin.

Kami mengutuk dengan sekeras-kerasnya kehadiran tentera Amerika Syarikat bersama negara-negara Barat lain di bumi Iraq dan mendesak mereka keluar dengan kadar segera. Kami menyokong desakan masyarakat antarabangsa supaya Amerika Syarikat menghentikan dasar campurtangannya di Iraq dan menyerahkan kepada rakyat Iraq sendiri untuk menentukan penyelesaian terhadap permasalahan dalam negara mereka sendiri.

Mengenai Palestin, kami menggesa kerajaan Persekutuan dan masyarakat antarabangsa supaya mengiktiraf Hamas dan melibatkannya dalam proses perdamaian di bumi Palestin. Penyisihan Hamas di dalam proses perdamaian akan menafikan suara rakyat Palestin yang telah memilih mereka melalui proses demokrasi yang diiktiraf dunia.
Demi keadilan kepada rakyat Palestin, kami menyeru negara Malaysia memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada kerajaan Palestin pimpinan Hamas sebagai mewakili rakyat Palestin secara sah.

Mengenai ASEAN, secara khususnya kami mendesak supaya segala langkah tegas diambil bagi memastikan Myanmar akur terhadap tuntutan antarabangsa agar membebaskan Aung San Suu Kyi bersama tahanan-tahanan politik lainnya dan mengembalikan hak-hak asasi mereka.

HAK-HAK PERLEMBAGAAN
Tan Sri Yang di-Pertua,

Kami memperakui hak Melayu dan Bumiputera yang merangkumi negeri-negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak sepertimana ditakrifkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kami menghormati dan mempertahankan semua hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan baik secara khusus mahu pun tersirat. Hak orang Melayu dan Bumiputra dan kedudukan istimewa mereka sepertimana ditakrifkan dalam Perlembagaan akan kekal.

Begitu juga dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara tidak akan dikompromi, disamping memberi kebebasan berugama kepada penganut agama lain. Usaha memertabatkan kedudukan Islam dan kemuliaanya tidak harus memberi legitimasi kepada gejala fanatisma seperti merobohkan kuil penganut Hindu dan mengenakan sekatan yang tidak munasabah terhadap penganut Kristian dan ajaran agama selain Islam.

Bahasa Melayu akan dimartabatkan. Kami mencadangkan supaya mutu penggunaan Bahasa Melayu dipertingkatkan melalui pengeluaran buku-buku bermutu, memperbanyakkan karya-karya sastera dan sains dalam Bahasa Melayu, mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu dan memperhebatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam program-program media.


Kami juga mencadangkan supaya bahasa ibunda rakyat negara ini, baik di negeri-negeri Semenanjung maupun Sabah dan Sarawak, diberi tempat sewajarnya dalam sistem pendidikan negara. Bantuan dan peruntukan yang mencukupi diberikan kepada semua sekolah termasuk sekolah agama rakyat, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan rakyat perlu diperhebatkan.


Kami mempertegaskan bahawa kami menentang keras sebarang diskriminasi terhadap rakyat semata-mata kerana perbezaan ugama, kaum, keturunan, jantina, bahasa atau fahaman politik. Hakikatnya, jatidiri negara harus dibina di atas asas ketuanan rakyat yang berteraskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai keadilan sejagat.

HAK ASASI MANUSIA
Tan Sri Yang di-Pertua,

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan skop yang menyeluruh mengenai hak asasi manusia termasuk hak bersuara dan hak berhimpun. Dalam pada itu negara Malaysia telah menerima dan memperakui Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (1948) yang secara jelas dan nyata memperkukuhkan lagi hak-hak tersebut, disamping dengan tegas menolak sebarang pencabulan, sekatan dan halangan terhadap hak bersuara, hak berhimpun dan lain-lain lagi hak asasi manusia.


Namun demikian, pada realitinya hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan secara sistematik dibendung sejak dahulu melalui pelbagai peruntukan undang-undang yang digubal dan dikuatkuasakan hingga sekarang ini.


Justeru itu, sebagai mewakili seluruh suara pembangkang Parlimen dan rakyat Malaysia amnya serta pernyataan tegas saya untuk menentang sebarang bentuk penindasan terhadap kebebasan rakyat dan hak asasi manusia, melalui Dewan yang mulia ini, sekali lagi saya menggesa kerajaan bertindak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Polis, Akta Penerbitan dan Percetakan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Ordinan-Ordinan Darurat dan berbagai undang-undang yang menindas kebebasan dan hak asasi manusia.

Sebagai jaminan kukuh demi mempertahankan hak asasi manusia, kerajaan digesa supaya bertindak menandatangani segera dan memperakui protokol antarabangsa mengenai hak-hak sivil dan politik, iaitu dengan izin International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR). Protokol ini telah ditandatangani dan diperakui oleh kebanyakan negara-negara dunia sejak ianya dikemukakan pada 1966, tetapi kerajaan Malaysia masih tidak berbuat demikian.
Malahan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah pun mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya memperakui ICCPR, namun tidak dipedulikan oleh kerajaan. Saya ingin tahu mengapa kerajaan masih berdegil untuk tidak menandatangani dan memperakui protokol tersebut?

DEMOKRASI DAN FEDERALISMA
Tan Sri Yang di-Pertua,

Seterusnya saya ingin mengingatkan kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan supaya menerima hakikat dan kenyataan bahawa rakyat ingin perubahan sepertimana diperlihatkan dari keputusan pilihanraya umum kedua belas yang lalu.
Keinginan rakyat kepada perubahan ini tidak diperolehi dengan mudah. Bukan sahaja kami berdepan dengan kekuatan Barisan Nasional yang memperalatkan jentera kerajaan, media awam dan penggunaan politik wang, tetapi serentak dengan itu juga kami terpaksa menghadapi segala tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bagaikan bertindak sebagai komponen Barisan Nasional. Demokrasi hampir terhakis dek karenah SPR semasa pilihanraya umum yang lalu.
Proses pilihanraya yang didakwa telus dan bebas oleh Pengerusi SPR sebenarnya tercemar teruk dengan penyediaan daftar pemilih yang mencatatkan pendaftaran ribuan pengundi-pengundi hantu. Empat hari menjelang hari penamaan, semua calon dikehendaki untuk mematikan duti setem yang dikenakan pada borang Akuan Berkanun, iaitu Borang 5 atau Borang 5A, yang kemudiannya secara tiba-tiba ditarik balik tanpa sebab pada hari penamaan.
Proses pengundian yang melibatkan undi pos berlangsung dalam keadaan yang amat mencurigakan. Lebih meragukan kami ialah empat hari sebelum hari mengundi, satu sandiwara murahan direncanakan untuk membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal, atau indelible ink, pada jari pengundi yang merupakan antara percubaan terakhir bagi memberi laluan mudah kepada kemenangan Barisan Nasional.
Keputusan pilihanraya umum lalu yang memihak kepada calon-calon Pakatan Rakyat sebenarnya tidak ada kena mengena dengan apa yang didakwa Pengerusi SPR sebagai pilihanraya yang paling telus dalam sejarah. Sebaliknya keputusan tersebut adalah kemuncak kepada manifestasi rakyat yang telah sekian lama menuntut perubahan. Dan manifestasi rakyat ini tidak mungkin dapat dibendung lagi oleh Barisan Nasional maupun SPR.
Malahan, jika sekiranya pilihanraya umum dilangsungkan secara adil, bebas dan telus menurut nilai dan norma antarabangsa, dan bukannya menurut acuan SPR, kami berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat berjaya memenangi majoriti kerusi Dewan Rakyat dan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Keputusan pilihanraya umum yang lalu, tanpa sebarang kesangsian, membuktikan kematangan rakyat Malaysia dan memperjelaskan lagi tuntutan rakyat bahawa:

· Pertamanya, suara dan pilihan rakyat harus dihormati,
· Kedua, dasar dan program kerajaan di semua peringkat perlu adil,
· Ketiga, salahguna kuasa mesti dihentikan, dan
· Keempat, kerajaan sama ada pemimpin atau pegawai-pegawai mesti berkhidmat demi keperluan dan kepentingan rakyat tanpa pilih kasih atau sentimen politik.

Keputusan rakyat dengan jelas memberikan mandat kepada perubahan kerajaan-kerajaan negeri kepada parti-parti Pakatan Rakyat; khasnya bagi negeri Selangor yang dipimpin oleh Ahli Yang Berhormat dari Bandar Tun Razak, negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Ahli Yang Berhormat dari Bagan, negeri Perak yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, negeri Kedah yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Ustaz Haji Azizan Abdul Razak, dan negeri Kelantan yang kekal di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun demikian, sejak jemaah menteri dibentuk, sudah nampak petanda dan bukti bahawa keputusan dan pilihan rakyat tidak dihormati. Antaranya;


· Ada berbagai ugutan bahawa peruntukan belanjawan kerajaan pusat untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat akan ditarik balik, dibatalkan atau disalurkan melalui saluran-saluran yang tidak lain bertujuan untuk membentuk suatu jelmaan “parallel state government” menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan, yang ternyata tidak demokratik sifatnya;

· Berbagai tindakan telah diambil dengan tujuan menjejaskan pentadbiran negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, contohnya memaksa semua ketua kampong dan ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampong (JKKK) meletakkan jawatan, dan menyalurkan dana belanjawan awam melalui parti-parti politik Barisan Nasional atau agensi-agensi tertentu yang dikuasai oleh kerajaan pusat.

Namun, saya yakin bahawa semua tindakan ini tidak akan menjejaskan keazaman kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk menunaikan amanah rakyat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
Kami amat gembira melihat kesungguhan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang yang telah memulakan langkah berani dan besar dengan menghentikan amalan sistem kontrak tertutup tanpa persaingan melalui tender terbuka. Langkah ini sejajar dengan dasar Pakatan Rakyat bagi menjamin amalan pemerintahan yang terbaik lagi telus untuk kepentingan rakyat.

Kami sedar bahawa dasar pemusatan belanjawan dan fiskal membolehkan kerajaan Persekutuan bertindak dengan sewenang-wenangnya berdasar bulu politik, dan bukannya berdasarkan kepada penghormatan suara rakyat, prinsip demokrasi dan nilai keadilan sejagat. Persoalannya, mengapa pula rakyat harus dihukum? Ini berlaku, tidak lain dan tidak bukan, semata-mata kerana dasar dan pemikiran politik yang sempit dan rakus.

Saya menggesa kerajaan Persekutuan supaya menghentikan amalan diskriminasi terhadap kerajaan-kerajaan negeri yang dipilih secara sah menurut pilihan rakyat, sekalipun pilihan tersebut tidak sehaluan dengan kehendak pimpinan Barisan Nasional.
Saya juga menggesa kerajaan Persekutuan tidak mengulangi kesilapan demi kesilapan yang lalu dengan mengenepikan konsep dan prinsip federalisma sepertimana yang pernah dilakukan terhadap Kelantan, Terengganu dan Sabah.

Saya juga menggesa kerajaan supaya memastikan sistem pemerintahan persekutuan benar-benar memenuhi tanggungjawabnya menurut kehendak peruntukan Perlembagaan. Saya menggesa agar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan prinsip tiada paksaan dalam beragama tidak dicabuli.
Jaminan peruntukan dana awam untuk negeri-negeri mesti disempurnakan. Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain dijamin dengan kukuh tanpa disalahgunakan.

Saya menyeru agar kerajaan menyerah semula royalti kepada kerajaan negeri Terengganu dan menaikkan kadar royalti kepada 20% dari 5% sekarang bukan sahaja untuk Terengganu, malahan termasuk Sabah dan Sarawak, di samping memastikan peruntukan yang seimbang dan adil untuk negeri-negeri lain dalam Persekutuan.

Tan Sri Yang di-Pertua,

Akhirnya, saya ingin menyarankan kepada Perdana Menteri, ubahlah sikap dan tindakan. Tunaikanlah janji bahawa jawatan Perdana Menteri adalah untuk semua tanpa mengira bulu dan sentimen politik. Kotakanlah kata dan hormatilah suara dan pilihan rakyat.

Wallahu’alam dan terima kasih.

______________________________________________
Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com

DIARI YB


Tarikh 6. 5.2008 SELASA
Masa: 930 pg
Tempat : Kawasan Rezeb Hutan Paya Bakau, Tanjung Karang
Program : Lawatan Kerja Hutan Paya Bakau, Tanjung Karang Bersama Pejabat Hutan Negeri Selangor
Berkumpul : Dataran SUK
Masa : 4.00 PTG ~ Tempat : Pejabat EXCO, Tkt 14 SUK
Program : Appt : En. Mohd Isma Ali Bin Hj Ismail - PA Dr Halimah

Tarikh: 7. 5.2008 RABU
Masa : 8.30 pagi
Tempat : SUK
Program : MESYUARAT EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

TARIKH : 8. 5.2008 KHAMIS
Masa : 8.00 pg – 4.30 ptg [ HARI PERTAMA]
8.00 pg~ Sarapan
9.00 pg ~ Pendaftaran
9.30 pg ~ Ketibaan YAB MB & Isteri
Tempat : Bilik Gerakan,Bgn ANNEX DUN Selangor
Program : Seminar Khas YB ADUN & Isteri


Program : Taklimat Pembangunan Sistem Usahawan (PORTAL Usahawan )
C/M YB Tuan Hj Yaakob Bin Sapari

Tarikh : 9. 5.2008 JUMAAT
Masa: 8.00 pg – 1.30 ptg [ HARI KEDUA ]
8.00 pg~ Sarapan
8.30 pg ~ Ketibaan YAB & Isteri
Tempat : Bilik Gerakan, gn ANNEX DUN Selangor
Program : Seminar Khas YB ADUN & Isteri
Masa : 9.30pagi
Dialog ahli persatuan peniaga kompleks PKNS Shah Alam


Masa : 8.00 mlm = Isteri
Tempat : Perkarangan Masjid Jemek Sultan Ibrahim Kuala Selangor
Program : Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran P. Negeri Selangor
Catatan : 9.15 mlm ; Ketibaan YAB MB = Isteri


Tarikh : 10. 5.2008 ~ SABTU
Masa: 8.00 pg – 5.00 ptg [ HARI KETIGA ]
8.00 pg~ Sarapan
8.30 pg ~ Ketibaan YAB & Isteri
Tempat : Bilik Gerakan,Bgn ANNEX DUN Selangor
Program : Seminar Khas YB ADUN & Isteri
Masa 9.30 pg Hadir
Tempat : Pangkalan Nelayan Kampong Tok Muda Klang Selangor
Program : Majlis Perasmian Dan Pelancaran KEBUN KERANG negeri Selangor
Catatan : Asal prgm


Perasmian Santauri Ikan Sg Chilling Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor
Tempat : Pangkalan Nelayan Jeti Sg Buloh Kuala Selangor
Masa: 8.00 MLM – 12.00 MLM
Tempat : Pejabat Bahagian Puchong, No. 15B, Tkt 2 Jln BPU 6, Bdr Puchong Utama
Program: Majlis Terima Kasih Rakyat & Perasmian Pejabat Bahagian Puchong


10. 5.2008 SABTU
Masa: 8.00 mlm
Tempat : Grand Ballroom, Hotel Equatorial Bangi
Program : Majlis Perkahwinan Anak DATO HJ HARUN BIN SALIM

Peringatan : Semua program adalah tertakluk kepada perubahan yang mungkin tidak dapat dielakan. Untuk kepastian sila talifon pejabat untuk maklumat terkini. Wasalam. __________________________________________

Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com