1. Mengembalikan perpaduan sebenar dengan mengutamakan Perlembagaan sebagai dokumen asas yang menjamin hak dan keistimewaan setiap rakyat Malaysia, seterusnya menyediakan rangka untuk keharmonian sosial yang sebenar berdasarkan persefahaman antara satu sama lain.
2. Mengasaskan dasar-dasar ekonomi yang menawarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan, bukannya kaum, seperti mana yang diperincikan dalam Agenda Ekonomi Malaysia.
3. Menjamin keutamaan Bahasa Malaysia, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak penuh untuk semua rakyat Malaysia dan Islam sebagai agama rasmi negara. Kami juga akan mengambil nilai-nilai Islam dan nilai-nilai sejagat agama lain untuk membentuk sebuah tadbirurus Negara yang cekap dan bersih.
4. Membenarkan dan menggalakkan dialog yang bebas, matang dan bertanggungjawab, demi memperbetulkan salah faham masyarakat, menyembuhkan luka-luka perkauman dan seterusnya menanam benih keharmonian yang sebenar.
5. Memansuhkan semua undang-undang zalim yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan, mengekang kebebasan rakyat dan menghalang pertumbuhan demokrasi yang hidup. Undang-undang ini termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat.
6. Mengawal dan mengimbangi proses pelantikan hakim dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kehakiman dan menaklukkan perlantikan penting dalam kehakiman di bawah Parlimen.
7. Meletakkan Badan Pencegah Rasuah di bawah kawalselia Parlimen, bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
8. Menggalakkan media bebas yang melapor berita tanpa takut atau memihak, dengan meminda undang-undang yang mengawal media massa, termasuklah Akta Percetakan, Mesin Cetak dan Penerbitan, demi menggalakkan media yang bebas dan adil, yang mampu melaporkan sebarang berita tanpa takut ataupun berpihak.
9. Memulihkan semula pilihanraya tempatan dengan segera untuk membentuk akauntabiliti yang jitu di setiap peringkat pentadbiran kerajaan.
10. Melaksanakan dengan serta-merta saranan yang dibuat oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) demi menjamin proses pilihanraya yang bersih untuk semua parti politik yang terlibat.
Tekad Kedua:
Ekonomi Maju untuk SemuaPengagihan Sama Rata Menjana Dayasaing yang Tinggi
Agenda Ekonomi Malaysia
Malaysia telah dianugerahkan nikmat hasil bumi seperti petroleum, hutan belantara yang luas terlentang, dan paling penting, rakyat yang berbilang latar belakang, yang mampu menyumbang pemikiran dan idea yang bernas dan berbeza demi pembangunan negara. Justeru Malaysia sepatutnya berada di hadapan Negara-negara luar, jika bukan semua, di hadapan kalangan negara-negara jiran.
Akan tetapi, di manakah letaknya negara tercinta kita hari ini? Korea Selatan yang telah terancam oleh kemungkinan serangan Korea Utara selama lebih 50 tahun yang lepas, hari ini merupakan sebuah negara maju yang berjaya. Jepun yang tiada kekayaan alam sekitar yang ketara juga hari ini berdiri sebagai sebuah negara maju.
Singapura pula hanyalah pulau sekecil Melaka semata-mata, dan tidak mempunyai sedikitpun sumber alam yang kita miliki, tetapi tidak boleh dinafikan langsung bahawa rakyat Singapura menikmati kehidupan yang lebih selesa berbanding rakyat Malaysia. Pentadbiran ekonomi yang tidak bijak dan kucar-kacir, terutamanya dalam tempoh empat tahun yang lepas, telah membawa prestasi ekonomi Malaysia berada di tahap yang terendah setakat ini.
Harga barangan keperluan asas semakin hari semakin melonjak. Walaupun kerajaan masih menafikannya, pengalaman rakyat biasa jelas menampakkan inflasi yang sudah tidak terkawal. Daya saing dan pelaburan asing kita kini terus menjunam, sementara pihak berkuasa hanya mampu membohongi rakyat dengan menyalahtafsirkan statistik demi menutup kebenaran.
Pelan-pelan Malaysia, 'koridor-koridor' dan 'rantau pembangunan' tidak lebih sekadar kaedah baru untuk mengagihkan semula kekayaan Malaysia di kalangan golongan elit negara. Mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka yang berkuasa akan mendapat konsesi yang amat bernilai tanpa melalui proses semakan yang telus, sementara kerajaan terus menghalang usahawan-usahawan sebenar Malaysia daripada bersaing dengan mereka untuk menawarkan servis yang lebih baik pada harga yang lebih rendah.
Suatu ketika dahulu, kita merupakan pengeluar cip komputer yang terbesar di dunia - tetapi kini, syarikat gergasi seperti Intel dan Texas Instruments telahpun menutup operasi mereka di Malaysia, kerana telah hilang keyakinan dengan prestasi negara.
Tetapi yang paling parah ialah tidak lain dan tidak bukan hakikat bahawa dasar ekonomi yang memecah-belah rakyat telah diseleweng dan diperguna sehinggakan hanya berfungsi untuk memperkayakan golongan elit, sementara golongan miskin langsung tidak mendapat sebarang faedah, dan hubungan etnik di Malaysia semakin hari semakin getir.
Sudah jelas kelihatan sekiranya kita terus bergerak atas landasan yang gagal ini, anak-anak kita hanya akan mewarisi ekonomi sekadar kelas-keempat dan negara yang berpecah-belah. Malaysia memerlukan sebuah pelan yang lebih baik untuk merawat kepincangan ekonominya - dan jawapan KeADILan adalah Agenda Ekonomi Malaysia.
Kunci kepada perubahan ialah dasar ekonomi yang bermutu dan bebas daripada sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan. Singapura, Korea Selatan, Ireland, Estonia - negara-negara ini berjaya menjadi kuasa ekonomi dunia, malah tanpa sebarang kekayaan alam yang banyak sekalipun, mereka mampu melakukannya kerana memiliki asas ekonomi yang kuat.
Agenda Ekonomi Malaysia akan membekalkan asas yang padu dan utuh sebagaimana yang diperlukan oleh system ekonomi kita untuk menggalakkan keusahawanan dan perusahaan, yang merupakan ‘enjin' pertumbuhan dalam mana-mana sektor ekonomi.
Agenda Ekonomi Malaysia menetapkan sasaran tertentu untuk negara, bersesuaian dengan potensi Malaysia yang begitu cerah. Lima tahun daripada tarikh perlaksanaannya, pendapatan per kapita setiap rakyat Malaysia akan meningkat 3 kali ganda; dalam tempoh 7 tahun akan meningkat 4 kali ganda dan dalam tempoh 10 tahun, akan meningkat 5 kali ganda dari nilai terkini.
Tetapi jika BN masih lagi berkuasa sepuluh tahun daripada sekarang, pasti pendapatan per kapita rakyat Malaysia hanyalah pada kadar satu per-sepuluh daripada pendapatan rakyat Singapura.
Agenda Ekonomi Malaysia mensasarkan pertumbuhan purata sebanyak 8% setiap tahun untuk tempoh sepuluh tahun. Ekonomi China hari ini sedang tumbuh pada kadar 11.2%, Kemboja sebanyak 9.2%, India 8.5%, Vietnam 8.3%, Singapura pula 7.5%. Pertumbuhan ekonomi Malaysia pula hanyalah pada kadar 5.6%. Semasa Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan pada kadar 7% setahun, dan harga petrol tidak berubah.
Dengan semangat membara KeADILan untuk memerangi rasuah, pembaziran dan salah tadbir, kadar pertumbuhan sebanyak 8% adalah sangat realistik untuk kita capai. Demi memastikan bahawa janji ini tercapai, KeADILan akan meletakkan penjana keuntungan terbesar negara seperti Petronas di bawah kawalan jawatankuasa terpilih Parlimen, demi mengelakkan sebarang penyelewangan dana keuntungan minyak dan mendorong tahap ketelusan yang lebih tinggi.
Pada tahun 2006, kejayaan terbesar Malaysia adalah semata-mata berjaya mendapat kedudukan keenam dari segi kadar pelaburan asing, antara negara-negara rantau ASEAN. Bandingkan ini dengan era awal 90-an, di mana Malaysia gah di kedudukan kelima di dunia. Keengganan kerajaan untuk mendedahkan prosedur dan operasi ekonominya sudah tentu membantutkan pelaburan asing. Hatta sumber modal Malaysia sekalipun sekarang sedang memilih untuk melabur di luar negara.
Kunci kepada pertumbuhan di bawah Agenda Ekonomi Malaysia ialah membuka pasaran demi menjana perkembangan ekonomi. Pasaran yang dikelola dengan baik, dengan kerajaan yang mampu menguatkuasa perjanjian dan berurusan adil dengan rakyat, merupakan kunci kepada kejayaan ekonomi negara.
Pasaran yang dikawal terlalu ketat pula, ditambah dengan operasi kerajaan yang bersifat tertutup, akan melemahkan ekonomi dan membantutkan pelaburan, seterusnya menghalang pertumbuhan selanjutnya. Indeks Kebebasan Ekonomi hanya meletakkan Malaysia pada tahap 40%, berbanding dengan Taiwan dan Korea Selatan pada 70%, dan Singapura pada 90%.
Agenda Ekonomi Malaysia akan merombak semula struktur pelaburan untuk meningkatkan kebebasan ekonomi di bawah indeks tersebut kepada tahap sekurang-kurangnya 70%. Kerajaan pimpinan KeADILan akan memansuhkan sekatan ke atas peralihan modal asing keluar masuk negara, dan merombak perlindungan kerajaan yang diberikan kepada monopoli-monopoli dalam sektor seperti sektor telekomunikasi dan kewangan.
Pasukan pelaburan KeADILan berazam membawa masuk pelaburan asing berjumlah RM100 billion dalam tempoh lima tahun pertama perlaksanaannya. Jika pasaran kita kuat dan bebas daripada sekatan, dan dengan adanya undang-undang yang telus dan dikuatkuasa oleh hakim-hakim yang tidak berpihak, kita tidak memerlukan sebarang koridor atau rantau pembangunan yang khusus untuk menarik masuk pelaburan.
Suasana yang bersih dan stabil, seterusnya sesuai untuk keperluan perniagaan dan perusahaan, sudah pasti jauh lebih penting daripada potongan cukai dan kuota yang diagihkan oleh kerajaan yang korup dan tidak telus.
Persaingan juga merupakan satu isu yang ditangani oleh Agenda Ekonomi Malaysia tajaan KeADILan. Monopoli dan kawalan harga telah banyak membebankan pengguna Malaysia. Di Filipina, persaingan terbuka membolehkan pengguna menghantar SMS dengan harga 0.1 sen semata-mata, sementara rakyat Malaysia terpaksa menggunakan servis yang buruk dengan harga yang tidak berpatutan, kerana monopoli syarikat telekomunikasi yang membunuh persaingan.
Kini, kita tidak boleh membeli lebih daripada satu paket gula di pasaraya, ataupun membeli kereta pada harga yang dibayar pengguna di negara-negara lain. Semua ini merupakan perit jerih hasil daripada dasar-dasar yang lebih bersifat melindungi kepentingan elit, bukannya kepentingan rakyat biasa. Dalam banyak keadaan, kerajaan akan sentiasa melaksanakan dasar anti-pasaran yang direka untuk memperkayakan dirinya sendiri dan kroni-kroni mereka, sementara rakyat biasa akan terus menanggung beban.
Persaingan terbuka pula akan memastikan negara bebas dan berdaya saing, seterusnya menolong rakyat marhaen. Dalam tempoh lima tahun, Agenda Ekonomi Malaysia KeADILan berjanji akan mengurangkan tarif dan sekatan import yang lain. Kawalan harga dan kuota akan dimansuhkan - rakyat Malaysia mestilah bebas membeli dan menjual pada harga yang mereka kehendaki. Semua pasaran akan dibuka kepada persaingan, kecuali monopoli fitrah seperti sektor bekalan tenaga lektrik, di mana amalan niaga dan skim harga yang dilaksanakan oleh pemegang konsesi akan sentiasa disemak semula untuk kepentingan rakyat.
Satu-satunya cara untuk membina ekonomi yang mampu berdaya saing adalah dengan bersaing untuk mendapatkan idea yang terbaik, peniaga yang paling bijak dan kemahiran yang terunggul. Kita tidak boleh takut untuk bersaing, kerana persaingan dalam negara kita sendiri merupakan langkah pertama ke arah bersaing di pentas dunia.
Ekonomi Malaysia juga mestilah dibangunkan bersesuaian dengan kelebihan fitrah kita sendiri. Kepelbagaian budaya dan cara pemikiran rakyat Malaysia, serta kedudukan kita di persimpangan sejarah dan peradaban dunia, semestinya membolehkan Malaysia memainkan peranan unggul sebagai penjana idea dan rangkaian buat rantau Asia Tenggara. Keindahan alam Malaysia juga seharusnya menjana industri pelancongan yang maju lagi mesra alam.
Pada masa yang sama, kita haruslah memastikan bahawa tenaga kerja kita tidak ketinggalan begitu sahaja sedang kita bergerak ke arah membina satu ekonomi maju. Gaji minima sebanyak RM1,500 diperlukan untuk menjamin kehidupan bermaruah buat pekerja-pekerja mulia kita. Untuk membolehkan pekerja kita sentiasa berdaya saing tinggi pula, setiap rakyat Malaysia yang ingin menambahkan kemahiran mereka akan diberi peluang menjalani program latihan dan latihan semula, demi memastikan mereka sentiasa mampu menjejaki keperluan global mutakhir ini.
Potongan cukai dan baucar pendidikan akan dibekalkan kepada mereka yang ingin melatih dan meningkatkan kemahiran mereka. Baucar-baucar ini akan membiayai pelajaran di mana-mana kolej atau sekolah teknikal, seterusnya meningkatkan produktiviti dan mengelakkan pembaziran tenaga kerja.
KeADILan juga percaya bahawa Dasar Ekonomi Baru haruslah digantikan dengan agenda ekonomi yang berhasrat membantu dan mengembalikan maruah semua rakyat yang miskin, tidak kira kaum atau latar belakang mereka. Dengan ini, golongan elit yang kaya-raya tidak lagi akan boleh memperguna dasar yang sedia ada untuk lebih memperkayakan diri mereka lagi - sebaliknya, orang Melayu yang sememangnya merupakan majoriti golongan miskin Malaysia akan mendapat bantuan sepenuhnya, bersama-sama saudara mereka dari kaum India, Kadazan, Cina, Iban, Orang Asli dan lain-lain.
Dengan pelbagai dasar yang meyakinkan, jurang yang disebabkan oleh ketidakseimbangan pembangunan akhirnya akan diperbetulkan. Dengan kesaksamaan sebagai asas terpenting, bumiputra miskin akhirnya akan mendapat akses kepada bantuan ekonomi yang seringkali dinafikan kerana pelbagai kerenah birokrasi politik yang mengekang.
Pembahagian asas di Malaysia adalah di antara mereka yang bebas dan sebaliknya. Kelompok elit bebas melakukan apa saja yang dihajati mereka - mereka tidak pelu bimbang untuk memulakan perniagaan, di mana kuota yang menetapkan sebanyak mana kampit-kampit gula yang boleh mereka beli sewaktu musim perayaan, ataupun mendapatkan tawaran terbaik untuk pinjaman bank.
Selagi kita bersikap tegar dalam perkara-perkara di mana hanya perniagaan tertentu, individu tertentu perlu dibebaskan, dan selagi mana kita gusar dengan persaingan untuk melihat siapa yang mempunyai idea dan keupayaan yang lebih baik, kita sama sekali tidak akan dapat mencapai potensi sepenuhnya yang diharapkan oleh Negara kita ini.
Dasar afirmatif yang berasaskan sepenuhnya kepada ras dan bangsa, seperti yang diterjemahkan melalui Dasar Ekonomi Baru, telah terbukti kelemahannya yang ketara dengan penindasan yang dialami oleh sekalian rakyat Malaysia. Masih ada Melayu yang kaya dan Melayu yang miskin, Cina yang kaya dan Cina yang miskin, India yang kaya dan India yang miskin, demikianlah seterusnya.
KeADILan yakin dan percaya bahawa adalah tidak bermakna sama sekali untuk setiap kelompok ras dan bangsa mempunyai penyelesaian ekonomi tersendiri dan bersifat berasingan. Ekonomi kita bukanlah kuih yang hendak dibahagi-bahagi. Ianya berbentuk 'sepohon pokok' untuk disuburkan, 'sepohon pokok' yang menjadi milik kita bersama, dan juga 'sepohon pokok' yang, jika dibajai subur, akan membuahkan hasil yang sangat lumayan buat kita semua. Polisi-polisi ekonomi kita perlu dibentuk dalam acuan yang sama, bukan sahaja bermanfaat untuk kaum Melayu, tetapi juga untuk kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain.
Prinsip asas polisi-polisi ekonomi yang perlu dibentuk ialah peluang yang saksama perlu disediakan untuk setiap rakyat Malaysia, peluang untuk belajar, peluang untuk memperoleh hidup yang senang, dan peluang untuk mencapai impian kita. Inilah janji Agenda Ekonomi Malaysia tajaan KeADILan kepada semua rakyat yang mengecap nikmat kebebasan di bawah naungan Malaysia.
Agenda Ekonomi Malaysia akan:
1. Memacu kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada paras 8% dan pendapatan per kapita rakyat setara dengan pendapatan rakyat di Negara-negara maju Asia melalui dasar-dasar ekonomi yang kompetitif dan telus.
2. Membanteras seluruh rangkaian korupsi dan monopoli yang merugikan pengguna di dalam industri-industri seperti telekomunikasi dan perbankan, dan juga dasar-dasar perlindungan yang menguntungkan pihak-pihak berkepentingan.
3. Memperkasakan pelaburan langsung asing (FDI) dengan menghapuskan sebarang bentuk kekangan seperti sistem kehakiman korup yang tidak boleh menjamin kontrak-kontrak secara efektif, ketiadaan kebebasan media dan undang-undang yang menjamin ketelusan di dalam tadbirurus perniagaan, sebagaimana juga peruntukan ekuiti yang menjamin sebarang sewabeli. Sasaran sebanyak RM100 billion di dalam pelaburan langsung asing dianggarkan dalam tempoh 5 tahun.
4. Memastikan pengeluaran barangan yang stabil pada harga yang berpatutan dengan mengekalkan dasar pasaran terbuka yang bebas daripada sebarang bentuk manipulasi politik berkepentingan yang sempit. Melalui cara ini, harga akan sentiasa terkawal dan kekurangan dapat dielakkan.
5. Mengembleng pertumbuhan domestik dengan menganjurkan program keusahawanan, mengurangkan penguasahaan untuk memulakan perniagaan dan memastikan padang yang sama rata untuk semua.
6. Meningkatkan persaingan global dengan melabur di dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), memastikan pindahan teknologi antarabangsa dan menyahkan sebarang bentuk halangan yang menghalang pembangunan ekonomi bersifat pengetahuan (k-ekonomi). Penekanan serius turut ditumpukan kepada industri-industri yang mengesani kelebihan semulajadi Malaysia, seperti perlancongan dan industri perkhidmatan.
7. Menjamin maruah semua rakyat Malaysia dengan melaksanakan gaji minimum pada kadar RM1500 sejajar dengan kenaikan kos sara hidup. Aliran latihan yang sempurna untuk mengekalkan kebolehsaingan global di kalangan pekerja-pekerja tempatan turut akan disediakan.
8. Menggantikan Dasar Ekonomi Baru dengan sebuah dasar afirmatif yang berasaskan keperluan berbanding bangsa dan etnik untuk menjamin semua rakyat Malaysia yang susah dibantu untuk memperkemaskan kehidupan mereka dan memecahkan jurang kemiskinan.
9. Menganjurkan budaya keterbukaan dan telus sepenuhnya di dalam menganugerahkan kontrak-kontrak kerajaan dan tender, dan membenarkan ganjaran bukan berasaskan hubungan dalaman, tetapi berasaskan kebolehsaingan dan sejarah perkhidmatan.
10. Meletakkan GLC - GLC utama seperti Petronas di bawah seliaan Parlimen untuk membenarkan pemantauan dana dilakukan dan mengelakkan sebarang bentuk salahguna dan penyelewengan dana. Ini demi memastikan kekayaan Negara dikembalikan kepada rakyat, bukan terhad kepada kepentingan tertentu.