Kenyataan Media Yang Diedarkan pada 19 September 2007
Rakaman video ini melibatkan pejabat kehakiman tertinggi dalam konspirasi untuk mempengaruhi perjalanan sistem keadilan negara. Ia melibatkan campurtangan seorang peguam yang penuh dengan kontroversi dari sejarah penglibatannya dalam perkara yang menimbulkan syak wasangka dan seterusnya membawa kepada skandal yang melibatkan perlantikan hakim-hakim negara.
Pada tahun 1994, satu gambar menunjukkan VK Lingam dan Ketua Hakim Negara ketika itu Tun Eusoffe Chin cuti bersama di New Zealand dalam situasi yang melampaui tatasusila professional dan pengendalian yang tidak beretika Ketua Hakim tersebut. Lingam juga terlibat dalam laporan audit skandal Perwaja Steel oleh PriceWaterhouseCoopers yang dibentangkan di Parlimen yang melibatkan kerugian berbillion ringgit wang rakyat.
Dalam video ini, Lingam dirakam berbicara dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim di mana nama saya, antara lain, disebut secara khusus.
Perbicaraan tersebut adalah dalam konteks konspirasi untuk mempengaruhi lantikan hakim kanan dan campurtangan badan kehakiman. Oleh itu, kami mempunyai sebab kukuh dan percaya bahawa perbualan pada tahun 2002 ini menentukan hasil beberapa perbicaraan mahkamah penting, termasuk kes saya.
Video ini juga melibatkan Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor. Vincent Tan adalah seorang ahli perniagaan dan jutawan judi yang dikatakan terlibat mempengaruhi proses kehakimam dalam kes Ayer Molek. Tengku Adnan pula adalah pemimpin UMNO dan ahli kabinet yang terlibat dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan saya pada tahun 1998.
Skandal video ini mengukuhkan dakwaan kami mengenai konspirasi politik yang melibatkan pemimpin tertinggi negara dan korupsi oleh ketua badan kehakiman. Ini membangkitkan isu mengenai hilangnya kesaksamaan perbicaraan mahkamah di negara ini. Perkara ini perlu disiasat segera demi kepentingan awam dan kami menggesa supaya satu Tribunal Bebas dibentuk segera untuk menyiasat hal yang amat memalukan ini.
Dalam hal ini, kami membuat rayuan khas kepada majlis raja-raja untuk memainkan peranan seperti yang termaktub dalam perlembagaan untuk membela hak rakyat dengan menggunakan pengaruh dalam hal-hal yang berada dalam bidang kuasa mereka.
ANWAR IBRAHIM
___________________________________________________________________
Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com
No comments:
Post a Comment