Tuesday, March 24, 2009

Alahai Permit Akhbar Suara Keadilan dan Harakah di Gantung!

Bebaskah MEdia Kita?

Kementerian Dalam Negeri (KDN) Isnin menggantung permit dua akhbar parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta.

Menterinya Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata kedua-dua akhbar tersebut didapati melakukan kesalahan berdasarkan aliran pemberitaan yang jelas melanggar garis panduan kementerian dan syarat-syarat permit.

Beliau berkata Harakah milik PAS dan Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) didapati kerap kali mengeluarkan artikel yang mempersoalkan kedudukan raja-raja selain cenderung mengsensasikan berita-berita yang berunsur fitnah dan mengelirukan yang mewujudkan salah faham di kalangan masyarakat.

"Memang benar kita menggantung permit dua akhbar tersebut bermula hari ini. Tindakan tersebut bukan bermaksud kerajaan menyekat kebebasan media tetapi bagi menjaga keharmonian dan sensitiviti masyarakat di negara ini yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah menyekat kebebasan dalam menyebarkan ideologi dan fahaman politik melalui akhbar tetapi sekiranya bahan berita tersebut diputar belit dan akhirnya mewujudkan konflik di dalam masyarakat, tindakan serius perlu diambil bagi memastikan ia tidak berlarutan.

"Kedua-dua akhbar itu banyak membangkitkan dan mempersoalkan banyak perkara termasuk mempersoalkan mengenai kedudukan raja-raja, membuat spekulasi mengenai kes pembunuhan (wanita Mongolia) Altantuya (Shaariibuu) selain pernah menfitnah Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dengan mengatakan beliau nazak.

"Apabila sesuatu fakta itu diputar belitkan, maka kita perlu berbuat sesuatu bagi memastikan ia tidak berlanjutan. Lagipun mereka tetap tidak serik menyiarkan berita berbaur fitnah meskipun amaran pernah diberikan sebelum ini," katanya.

Syed Hamid berkata penerbitan kedua-dua akhbar turut melanggar syarat permit apabila dijual secara terbuka dan terang-terangan sedangkan akhbar tersebut hanya boleh dijual kepada ahli sahaja.

"Kebebasan yang diberi seharusnya digunakan secara bertanggungjawab dan ingin diingatkan ia bukanlah kebebasan mutlak yang boleh disalahgunakan," katanya.

Difahamkan, surat penggantungan permit Harakah ditujukan kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaffar manakala surat untuk Suara Keadilan dialamatkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. / Bernama


Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com

No comments: