Wednesday, March 4, 2009

Surat ADuan DSAI Kepada Lembaga Penasihat SPRM

Transkrip Surat Aduan DSAI

Tun Abdul Hamid Mohamad,Tan Sri Amar Hamid Bugo,Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan,Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan,Tan Sri Simon Sipaun,Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas,Puan Sri Zaiton Zawiyah Puteh,Datuk Raspal SinghTan Sri Yong Poh Kon,Datuk Anwar Fazal,Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim,Chelvarajah Ramasamy Reddiar

Lembaga Penasihat SPRM
Ibu PejabatSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks DPusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 600062007 Putrajaya, MALAYSIA.

Per: Penyiasatan SPRM keatas laporan Polis 22807/08 pada 1 Julai 2008 terhadap penyalahgunaan kuasa Tan Sri Gani Patail (PN) dan Tan Sri Musa Hassan(KPN).
Izinkan saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara tersebut.

Latar Belakang

2. Saya telah membuat Dang Wangi Report No:22807/08 pada 1.7.2008 kandungan yang mana seperti dalam “Ekshibit-A”.

Dalam laporan tersebut , saya telah mendakwa Gani, SAC I Musa Hassan (“Musa”)(sekarang Tan Sri Ketua Polis Negara), seorang Dr. Abdul Rahman Yusof (“Dr.Rahman”) dan Pegawai Penyiasatan kes mata-lebam 1998, ACP Mat Zain bin Ibrahim (“Mat Zain”)(sekarang Dato, dan telah bersara), kerana secara aktif dan bersama-sama memalsukan keterangan berkaitan dengan laporan kecederaan keatas diri saya setelah dibelasah oleh Tan Sri Abdul Rahim Noor(TSRN) Ketua Polis Negara ketika itu, dalam kes “mata-lebam 1998”tersebut.

a) Siasatan ke atas laporan saya ini dilaksanakan oleh SPRM (ketika itu Badan Pencegah Rasuah-BPR).

b) Beberapa banyak kenyataan media berhubung status siasatan ini telah dibuat oleh antaranya YAB Perdana Menteri (“PM”), beberapa menteri kabinet, dan termasuk oleh Gani, Musa, dan Ahmad said sendiri. Dalam bulan November/Disember 2008, Ahmad said telah membuat kenyataan media ketika di Sarawak, menyatakan yang SPRM telah selesai menjalankan siasatan kes ini, dan akan merujukkan hasil siasatan berkenaan kepada “panel” SPRM untuk kajian mereka.

c) Kenyataan berkaitan panel yang disebut oleh Ahmad said agak longgar kerana tidak merujuk kepada semua kenyataan dan dokumen berkaitan. Justeru itu, saya memohon pertimbangan Ahli Panel SPRM meneliti kes ini dengan adil dan saksama.

Hasil siasatan yang wajar/berhak diharapkan daripada SPRM

3. Rayuan ini berkaitan dengan kegagalan siasatan dan tindakan sebelumnya. maka saya berhak meletakkan harapan bahawa SPRM akan menyempurnakan tanggungjawab dengan telus dan tegas; di antaranya menjelaskan:

a) Bahawa Dr.Rahman telah diarah dan/atau dipaksa dan/atau didorong oleh Gani untuk menyediakan dan/atau mereka dua (2) atau lebih laporan kecederaan ke atas saya dalam kes “mata lebam 1998” itu, sekalipun Gani mengetahui Dr Rahman tidak pernah memeriksa saya secara fizikal.

b) Dikemukakan untuk rujukan Y.A.Bhg.Tun “Ekshibit-B” salinan rekod prosiding Suruhanjaya Di Raja menyiasat kecederaan saya, yang mengesahkan telah melibatkan sebanyak dua (2) laporan kecederaan ke atas saya yang telah disediakan oleh Dr.Rahman untuk Jabatan Peguam Negara, bertarikh 2 Oktober 1998 dan satu (1) lagi laporan tidak bertarikh seperti yang digunakan sebagai Ekshibit A9 dalam laporan Suruhanjaya Di Raja tersebut itu.

c) Dikemukakan untuk rujukan Y.A.Bhg.Tun “Ekshibit-C”, iaitu salinan laporan kecederaan yang tidak bertarikh dan digunakan dalam Suruhanjaya Di Raja tersebut. Dr. Rahman telah mengesahkan dalam laporannya yang beliau telah dilantik sendiri oleh Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham) (“TSMA”), Peguam Negara itu, telah menyediakan laporan kecederaan berkenaan.

d) Dikemukakan pula untuk rujukan Y.A.Bhg.Tun “Ekshibit-D”, iaitu salinan laporan kecederaan ke atas saya, bertarikh 26 Oktober 1998, disediakan oleh Dr Rahman atas arahan Gani sendiri. Untuk makluman Y.A.Bhg.Tun, laporan kecederaan ini dipercayai disembunyikan oleh Gani atas sebab-sebab yang beliau sendiri ketahui dan tidak dikemukan dalam prosiding Suruhanjaya Di Raja. Untuk makluman juga, saya memperolehi salinan laporan kecederaan ini daripada SPRM sendiri ketika memberi keterangan saya kepada pihak mereka dalam bulan Julai 2008.

e) Tanpa rasa ragu saya tegaskan bahawa Gani telah menyembunyikan keterangan yang penting ini, untuk mengelakkan dirinya sendiri atau orang/orang-orang lain daripada dikenakan hukuman jenayah. Perbuatan Gani sedemikian ini adalah salahguna kuasa seperti yang ditakrifkan dalam Akta SPRM dan/atau salah laku jenayah seperti yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan atau kedu-duanya sekali.
Tindakan susulan SPRM yang diharapkan darinya

4. Tanpa mengambil kira keterangan-keterangan lain dalam kes ini pun, keterangan berkaitan laporan-laporan kecederaan seperti yang dijelaskan di atas, sudah mencukupi untuk SPRM membentuk suatu kes “prima facie” terhadap Gani kerana memberi dan/atau mereka keterangan palsu dalam kes mata lebam 1998 tersebut. Malah tatkala memberikan keterangan kepada pegawai-pegawai BPR; saya juga telah merujuk kepada beberapa dokumen lainnya termasuk dokumen peguam Manjeet Singh Dhillon mengenai percubaan Gani memalsukan keterangan dalam kes Nallakarupan. Selanjutnya saya juga telah mengemukakan laporan polis berkaitan ACP Koh.

a) Saya menegaskan bahawa dalam siasatan ini, Ahmad said tidak ada pilihan melainkan untuk mengenakan pertuduhan mereka keterangan palsu di bawah Kanun Keseksaan terhadap Gani dan orang atau orang-orang yang bersubahat dengan Gani tanpa lengah lagi.

5. Ahli Panel dipohon memastikan tidak ada keterangan dokumen yang diketepikan oleh Ahmad said atau SPRM tatkala membuat penilaian.

Penutup

6. Untuk makluman Y.A.Bhg.Tun, kini telah genap lapan (8) bulan semenjak saya membuat laporan polis di atas pada 1.7.2008. Malangnya, sehingga kini Ahmad said gagal untuk memaklumkan hasil siasatan beliau, sedangkan pihak SPRM sendiri yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan kes ini telah selesai sejak 22 Julai 2008, menerusi kenyataan akhbar oleh Timbalan Ketua Pengarah BPR ketika itu. Walhal terdapat beberapa kes lain pula, Ahmad said boleh membuat kenyataan umum berkaitan keputusan siasatan kes berkenaan selang beberapa hari sahaja selepas siasatan dimulakan. Saya ulangi gesaan agar tindakan memalsukan keterangan dan menyalahgunakan kuasa tidak dilindungi samada melibatkan Peguam Negara, Ketua Polis Negara atau Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri.

7. Saya akan mengemukakan keterangan dan dakwaan lanjut disertakan ekshibit berkaitan. Insyaallah keterangan lain akan menyusul kemudian. Saya hanya mampu mengharap agar Y.A.Bhg.Tun memberikan saya pendengaran yang adil. Kebimbangan tersebut adalah berasas malah kita dapati kaedah sama digunakan sebagai muslihat dalam kes-kes terhadap saya berikutnya.

Sekian.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh
_______________________________________________________________
Jikalau anda berhajat untuk menghantar rencana atau maklumat berserta dengan gambar emailkan pada alamat dibawah. Sertakan nama penuh dan hp anda. Rencana yang berbentuk kebencian kepada perkauman dan agama ~ TIDAK AKAN DISIARKAN.
EMAIL : pkrkota.anggerik@yahoo.com

No comments: